SkyWorld lancarkan prospektus IPO, sasar permodalan pasaran RM800 juta selepas disenaraikan pada 10 Julai 2023 | DagangNews Skip to main content

SkyWorld lancarkan prospektus IPO, sasar permodalan pasaran RM800 juta selepas disenaraikan pada 10 Julai 2023

Datuk Roslan Tik bersama Datuk Seri Ng Thien Phing pada majlis pelancaran prospektus IPO SkyWorld di Kuala Lumpur pada 20 Jun 2023.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Jun – Pemaju hartanah bandar, SkyWorld Development Berhad, yang terlibat terutamanya dalam pegangan pelaburan, penyediaan perkhidmatan pengurusan kepada anak syarikat dan pembangunan hartanahnya, melancarkan prospektus bagi tawaran awam permulaan (IPO) hari ini.

 

Ini adalah bersempena dengan cadangan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad, yang ditetapkan pada 10 Julai 2023. Pelancaran itu diadakan di The Valley Residences, pembangunan kediaman SkyWorld yang baru siap terletak di Setiawangsa, Kuala Lumpur dan merupakan projek kelapan yang telah disiapkan oleh syarikat.

 

Pelaksanaan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 208,000,000 saham baharu dan tawaran untuk penjualan 192,000,000 saham sedia ada pada RM0.80 sesaham.

 

Yang pertama akan mengumpul kira-kira RM166.4 juta untuk syarikat. SkyWorld memperuntukkan RM100.0 juta atau 60.1% daripada hasil yang diperoleh daripada terbitan awam untuk perolehan tanah untuk pembangunan.

 

Sebanyak 21.2% dan 12.0% dianggarkan untuk modal kerja bagi pembangunan projek dan pembayaran balik pinjaman bank masing-masing. Baki 6.7% daripada hasil diperuntukkan untuk perbelanjaan berkaitan IPO.

 

Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak kira-kira 1.0 bilion saham dan harga RM0.80 sesaham, permodalan pasaran mencapai kira-kira RM800 juta.

 

SkyWorld bercadang untuk mengisytiharkan dividen tahunan, bersamaan dengan 20% daripada keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat pada asas yang disatukan.

 

Pengasas SkyWorld dan pengerusi eksekutif bukan bebas, Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, pihaknya sangat teruja melancarkan prospektus IPO kami hari ini dan turut teruja mengadakan acara ini di pembangunan kami yang baru siap, The Valley @ SkySierra, Setiawangsa.

 

SkyWorld telah membuktikan dirinya sebagai pemaju hartanah berpengalaman yang memberikan perumahan berkualiti seperti yang dibuktikan oleh rekod prestasi 9 tahunnya. Kesemua pembangunan yang telah siap, menerima skor QLASSIC yang lebih tinggi daripada skor purata keseluruhan untuk industri.

 

"Komitmen kami sejak awal adalah ke arah membina komuniti yang mampan dan meningkatkan kualiti taraf hidup di samping nilai pembangunan kami.

 

“Kami percaya tawaran IPO kami berpotensi untuk meningkatkan operasi perniagaan kami, mencipta nilai untuk pemegang saham kami, dan memberi manfaat kepada prospek jangka panjang kami.

 

"Dengan ini, kami selangkah lebih dekat ke arah penyenaraian kami di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad. Kami berharap untuk mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam pasaran hartanah dan memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham kami," katanya.

 

Memandang ke hadapan kata beliau,  syarikat menjangkakan pasaran hartanah berkembang dalam trajektori menaik selepas cabaran sepanjang dua tahun lepas. SkyWorld mengiktiraf potensi yang belum diterokai dan bersedia untuk merebut peluang berharga ini.


 
Pengarah eksekutif dan ketua perbankan pelaburan kumpulan dan perbankan Islam Kenanga Investment Bank Berhad Datuk Roslan Tik berkata, “Proses IPO datang pada masa yang sesuai untuk SkyWorld, memandangkan peluang pertumbuhan untuk projek perumahan di Kuala Lumpur, ekoran kadar urbanisasi terus meningkat yang bertepatan dengan pembangunan ekonomi keseluruhan Malaysia.

 

Bahagian terbitan awam IPO akan tersedia mulai hari ini dan akan ditutup pada 27 Jun 2023 jam 5 petang. Kenanga Investment Bank Berhad ialah penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan manakala Newfields Advisors Sdn. Bhd. ialah penasihat kewangan untuk pelaksanaan IPO ini. - DagangNews.com