SME Bank raih 2 anugerah pembangunan ADFIAP 2022 di Manila | DagangNews Skip to main content

SME Bank raih 2 anugerah pembangunan ADFIAP 2022 di Manila

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - Usaha SME Bank dalam membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa selepas ia berjaya merangkul dua anugerah iaitu Pembangunan PKS untuk program SME Bank XCESS dan Pembangunan Perdagangan untuk program eCOACH DUBAI pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Institusi Pembiayaan Pembangunan di Asia dan Pasifik (ADFIAP) ke-45 yang diadakan di Manila, Filipina baru-baru ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata, SME Bank XCESS ialah program utama SME Bank yang memenuhi peranannya sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (DFI).

 

Program itu katanya, bukan sahaja menyediakan pembiayaan tetapi juga melaksanakan pelbagai inisiatif yang melangkaui pembiayaan dan menjadi saluran untuk PKS mendapatkan sumber atau padanan bagi rangkaian perniagaan bernilai tinggi dan berhubung dengan penyedia pembiayaan perniagaan yang dikenal pasti.

 

"SME Bank XCESS diletakkan sebagai inisiatif utama Bank SME dalam menyokong usaha kerajaan mempercepatkan pemulihan dan pembangunan sektor PKS.

 

"Sejumlah RM190 juta permohonan pembiayaan telah diterima semasa program tersebut diadakan dan sebanyak 538 sesi pitching juga telah dijalankan antara PKS dan syarikat utama yang mengambil bahagian. 

 

sme

 

"Mengambil pendekatan hibrid, SME Bank XCESS 2021 yang merupakan acara tahunan kami sejak 2016 adalah satu kejayaan dan ianya telah menarik minat 6161 peserta semasa program sehari ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, menerusi Ekspo Dubai 2020, anak syarikat milik penuh SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) telah diberi tanggungjawab untuk melatih 19 syarikat dengan sasaran mencapai pelaburan bernilai RM50 juta. 

 

Katanya, delegasi perdagangan tersebut telah melepasi sasaran dan menerima pelaburan bernilai RM100 juta berikutan penglibatan agresif dan berterusan yang dijalankan sebelum Ekspo Dubai 2020.

 

sme

 

ADFIAP merupakan platform pembangunan dan institusi PKS yang terlibat dalam pembiayaan pembangunan di rantau Asia-Pasifik.

 

ADFIAP yang diasaskan pada 1976 kini mempunyai 90 institusi ahli di 38 negara dengan misi untuk memajukan pembangunan mampan. 

 

ADFIAP juga merupakan ahli pengasas Persekutuan Institusi Pembiayaan Pembangunan Dunia yang terdiri daripada persatuan serantau dari Afrika, Asia-Pasifik, Amerika Latin dan Timur Tengah. ADFIAP juga merupakan sebuah NGO dalam status perundingan dengan Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - DagangNews.com