SMJ meterai Perjanjian Dasar Induk ambil alih 25% kepentingan ekuiti Petronas Chemicals Fertiliser Sabah | DagangNews Skip to main content

SMJ meterai Perjanjian Dasar Induk ambil alih 25% kepentingan ekuiti Petronas Chemicals Fertiliser Sabah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - SMJ Sdn. Bhd. (SMJSB) dan Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) menandatangani Perjanjian Dasar Induk (HOA) bagi pengambilalihan 25% kepentingan ekuiti dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn. Bhd. (PC FSSB).

 

Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius Kibat berkata, pengambilalihan kepentingan ekuiti dalam PC FSSB akan memberikan perkongsian keuntungan yang lebih besar kepada Sabah dalam industri minyak dan gas di negeri itu.

 

"Ini merupakan tambahan kepada pengambilalihan aset saluran paip gas hiliran terpilih dan kontrak pembekalan gas asli oleh Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) yang menjadikan SEC pembekal domestik dan pengangkut gas asli terbesar di Sabah. 

 

"Pengambilalihan ini menandakan peningkatan penyertaan GLC Sabah dalam industri minyak dan gas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Perjanjian itu ditandatangani Dionysia dan juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof dengan kehadiran Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Sabah merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek & Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong.

 

PC FSSB merupakan anak syarikat milik penuh PCG, ditubuhkan pada 2011 untuk membina, memiliki dan mengendalikan kompleks pengeluaran ammonia dan urea bersepadu di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di daerah perbandaran Sipitang.

 

Syarikat itu mempunyai fasiliti pengeluaran ammonia dan urea berskala dunia dan direka untuk menghasilkan ammonia dan urea sebanyak 1.9 juta tan metrik setahun. 

 

Ia merupakan loji ammonia dan urea “single train” terbesar di Asia Tenggara, dan loji urea ketiga terbesar di Asia Pasifik. 

 

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, pelupusan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha strategik PCG untuk meletakkan dirinya sebagai rakan pilihan dalam membentuk dan menyampaikan aspirasi PCG untuk mengekalkan dan memperkembangkan perniagaan petrokimia di Sabah. 

 

"Kami menghargai peluang ini untuk terus menyumbang kepada pembangunan Sabah.

 

"Kami mengalu-alukan SMJ sebagai rakan kongsi strategik kami, di mana mereka akan memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan PC FSSB di samping memberikan nilai tambahan kepada sumber gas negeri," katanya. - DagangNews.com