Southern Score Builders lengkapkan pelan penyusunan semula syarikat | DagangNews Skip to main content

Southern Score Builders lengkapkan pelan penyusunan semula syarikat

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Nov - Southern Score Builders Berhad telah melengkapkan pelan penyusunan semula dan keluar daripada status Nota Panduan 3 (GN3) selepas pengambilalihan kontraktor Southern Score Sdn. Bhd. (SSSB).

 

Menerusi pengambilalihan itu, Southern Score akan terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengurusan pembinaan terutamanya untuk bangunan kediaman bertingkat.

 

Syarikat itu memperoleh SSSB dengan harga RM252 juta melalui terbitan 1.68 bilion saham daripada Super Advantage Property Sdn. Bhd.

 

SSSB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM6.51 juta, RM19.2 juta dan RM35.18 juta masing-masing pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, 2020 dan 2021, dan margin keuntungan bersih direalisasikan sebanyak 9.7%, 12.9% dan 12.3% dalam tempoh tiga tahun.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Southern Score Builders, Gan Yee Hin berkata, pelan penyusunan semula membolehkan syarikat kembali mencatatkan keuntungan dan kedudukan kewangan lebih baik.

 

"Pengambilalihan SSSB akan membolehkan syarikat mempelbagaikan perniagaannya ke dalam perkhidmatan pengurusan pembinaan dengan syarikat dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan yang dijangkakan dalam sektor pembinaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, syarikat itu akan menggiatkan usaha dalam pengeluaran Sistem Binaan Perindustrian (IBS) melalui pembinaan kilang pembuatan kerana ia menjangkakan permintaan meningkat dalam sektor pembinaan.

 

Selain daripada pengambilalihan, pelan penyusunan semula itu juga melibatkan penyatuan 10 saham kepada satu saham, penyelesaian hutang RM3.1 juta dengan pengarah eksekutif Chai Tham Poh melalui terbitan 20.67 juta saham penyelesaian dan penempatan persendirian sebanyak 543.05 juta saham pada 20 sen sesaham.

 

Syarikat itu juga diberi pengecualian di bawah peraturan pengambilalihan daripada kewajipan untuk melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori bagi baki saham Southern Score Builders yang belum dimiliki oleh Super Advantage serta Tan Sri Gan Yu Chai dan Yee Hin. - DagangNews.com