Standard Chartered kekal penaja utama Liverpool FC hingga musim 2026/27 | DagangNews Skip to main content

Standard Chartered kekal penaja utama Liverpool FC hingga musim 2026/27

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Julai - Standard Chartered Bank hari ini mengumumkan lanjutan perjanjian selaku penaja utama Liverpool Football Club (LFC) dan Liverpool Football Club Women selama empat tahun sehingga akhir musim 2026/27.

 

Lanjutan perjanjian itu merangkumi pelaburan tambahan di dalam pasukan wanita Liverpool.

 

Bank itu mula menjadi penaja utama LFC bermula Julai 2010, menjadikan ia sebagai antara penaja utama paling lama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dan bersama-sama menikmati kejayaan gemilang kelab itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Standard Chartered, Bill Winters berkata, sejak mula menjadi penaja utama LFC pada 2010, mereka sama sekali tidak menjangkakan kejayaan besar untuk mereka dan kelab itu.

 

Beliau berkata, dengan lebih 770 juta pengikut LFC di seluruh dunia dengan majoritinya daripada pasaran bank itu termasuk di Asia, Afrika dan Asia Barat, kelab itu membawakan keseronokan kepada semua dan pihaknya berbesar hati untuk dikaitkan bersama kelab itu.

 

"Kami teruja untuk terus memberikan komitmen dan meningkatkan pelaburan kami bersama pasukan wanita LFC yang kini kembali ke saingan Liga Super Wanita selepas mengharungi musim 2021/22 dengan baik.

 

"Kami berharap untuk terus menyaksikan kejayaan gemilang kelab ini dan menyokong inisiatif Futuremakers Bank dan komitmen kami dalam menyerlahkan potensi wanita dalam pasaran kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LFC, Billy Hogan berkata, kerjasama itu adalah sangat bermakna buat kelab itu dan pihaknya berbangga kerana dapat mengesahkan lanjutan perjanjian baharu selama empat tahun selepas sekian lama bersama Standard Chartered.

 

Katanya, pihaknya mempunyai pengalaman yang menarik bersama dan sokongan bank itu menjadi pemacu utama kepada kejayaan mereka selama ini.

 

"Perkongsian kami maju kerana nilai yang dimiliki dan kami berharap untuk terus bekerjasama bagi menyokong komuniti serta penyokong kami di seluruh dunia," katanya.

 

Selama sedekad, Standard Chartered dan LFC menyokong beberapa program kemampanan global dan pelaburan komuniti bank, termasuk Futuremakers oleh Standard Chartered yang memberi fokus pada memperkasakan golongan muda yang kurang bernasib baik. - DagangNews.com