Starbucks terus pacu jualan Berjaya Food | DagangNews Skip to main content

Starbucks terus pacu jualan Berjaya Food

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Di sebalik perintah kawalan pergerakan (PKP), jualan minuman kopi Starbucks masih menjadi pemacu utama perolehan Berjaya Food Bhd. (BFood).

 

Menurut Maybank Investment Bank (IB) Research, Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd. (BStarbucks) menunjukkan prestasi jualan yang baik dengan 50% direkodkan menerusi outlet manakala platform penghantaran dan jualan atas talian masing-masing menyumbang sebanyak 25%. 

 

"Dalam mesyuarat kami baru-baru ini dengan pihak pengurusan, kami menyedari yang BFood hanya mengalami impak minimum dari segi operasi disebabkan PKP 3.0 dan perintah kawalan diperketatkan (PKPD) memandangkan outletnya masih dibenarkan beroperasi. 

 

"Tetapi, kami melihat dengan pelbagai fasa sekatan pergerakan yang dilaksanakan pada suku keempat tahun kewangan 2021, ia mungkin menjejaskan beberapa pembukaan cawangan baharu BStarbucks tahun ini," katanya dalam nota kajian. 

 

BFood merancang untuk membuka lagi 25 cawangan tahun ini.

 

Sebelum ini, ia telah menambah 13 cawangan baru dengan keseluruhan cawangan kini berjumlah 329 setakat suku ketiga 2021.
 

Setakat ini, 8% daripada outlet BStarbucks masih ditutup kebanyakannya di kawasan lapangan terbang dan tumpuan pelancong disebabkan pandemik COVID-19. 

 

Selain memiliki jenama Starbucks, BFood juga mengendalikan dua lagi rangkaian makanan iaitu Kenny Rogers Roasters menerusi Berjaya Roasters (M) Sdn. Bhd. (BRoasters) dan Jollibean Foods Pte Ltd.

 

Maybank IB menjangkakan pendapatan BFood pada suku keempat mungkin agak sedikit rendah disebabkan sekatan pergerakan di beberapa kawasan tetapi ia kembali meningkat apabila 'lockdown' semakin dilonggarkan.

 

Namun, katanya, dengan jualan menerusi BStarbucks yang kukuh, ia secara tidak langsung akan mengimbangi kerugian yang dialami oleh BRoasters. 

 

"Kami menjangkakan Kenny Rogers akan mengalami kerugian pada suku keempat ini memandangkan pusat beli-belah masih belum beroperasi disebabkan penularan wabak ini," katanya. 

 

Firma itu menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 dengan lebih rendah sekitar 2 hingga 4%.

 

Ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham BFood dengan harga sasaran RM2.35. - DagangNews.com