Strategi pembebasan Palestin mengikut saranan Datuk Dr Afifi al-Akiti | DagangNews Skip to main content

Strategi pembebasan Palestin mengikut saranan Datuk Dr Afifi al-Akiti

Polis Israel menyepak wanita Palestin di Masjidil Al-Aqsa. - Gambar Anadolu Agency

 

KUALA LUMPUR 6 Jun - Felo Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr. Afifi al-Akiti menghuraikan strategi-strategi berdasarkan Sunnah Nabi Muhammad SAW yang wajar diguna pakai dalam usaha menghentikan penindasan rejin Zionis Israel ke atas Palestin.

 

Beliau menarik perhatian mengenai pendekatan Ireland dalam menangani penindasan Israel ke atas Palestin, adalah selari dengan Sunnah Nabi Muhammad yang wajar dilaksanakan oleh Malaysia juga.

 

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama sarjana tersebut yang berada di Universiti Oxford, United Kingdom baru-baru ini, anjuran Solidaritas Kemanusiaan Untuk Palestin dan Angkatan Belia Islam Malaysia.

 

Beliau memetik tulisan seorang pemikir dunia Barat dari Ireland, Edmund Burke bahawa “The only thing necessary for the triumph of evil is for good man to do nothing” (Hanya satu perkara sahaja yang membuatkan suatu kejahatan itu capai kemenangan, iaitu apabila orang baik tidak melakukan apa-apa).

 

"Sama ada Edmund Burke sedar atau tidak, beliau sebenarnya mengikut Sunnah Nabi Muhammad SAW.

 

"Dalam sabda Baginda: “Apabila kamu nampak kejahatan berlaku, cuba hentikan dengan tangan kamu, jika tidak berupaya, maka gunakan lisan kamu, jika tidak berupaya, maka gunakan hati kamu. Dan itulah tahap iman yang paling rendah.” (Riwayat Sahih Muslim).

 

"Ini adalah framework (kerangka kerja) kita yang komprehensif dan syumul, sama ada dari pendekatan atas ke bawah (pihak kerajaan) atau bawah ke atas (pihak keseorangan), apabila berhadapan dengan satu-satu kejahatan atau kezaliman seperti apa yang berlaku kini di bumi Palestin," kata beliau.

 

 

Dr Afifi al-Akiti
Felo Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr. Afifi al-Akiti

 

Dr. Afifi berkata maksud  ‘tangan’ tersebut boleh merangkumi kegiatan:

(i) ketenteraan sama ada menghantar askar peace enforcers (penguatkuasa keamanan) atau peace keepers (penjaga keamanan);

(ii) boycott, divestment and sanction (BDS: iaitu memboikot barangan Israel, tamatkan pelaburan yang ada kepentingannya, dan menyekat perdagangan dengannya) seperti polisi kerajaan Republik Ireland dan polisi syarikat-syarikat di Norway;

(iii) memberi bantuan kerajaan secara terus ke Palestin seperti pembangunan infrastruktur atau menghantar tenaga manusia dan pakar seperti Ireland;

(iv) memberi bantuan peribadi melalui badan bukan kerajaan (NGO). 

 

Sementara maksud ‘lisan’ boleh merangkumi aktiviti:

(i) langkah diplomatik seperti membina gabungan satu-satu negara sedunia untuk mengisytiharkan Israel sebagai kerajaan Apartheid seperti mana kempen Nelson Mandela di Afrika Selatan pada 1980-an;

(ii) melobi kuasa Barat yang menjadi penyokong tegar Israel seperti Amerika Syarikat supaya lebih berlaku adil dengan pihak Palestin;

(iii) melibatkan media massa dan akhbar dunia barat dan timur;

(iv) kempen media sosial;

(v) mengeluarkan kenyataan kecaman yang bertaring;

(vi) Langkah simbolik atau solidariti seperti mengibarkan bendera Palestin di bangunan kerajaan Malaysia, atau pasukan bola kebangsaan Malaysia memakai jersi Palestin terutama sekali bila melawan pasukan yang sudah mengiktiraf Israel seperti Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.

 

Akhirnya, maksud ‘hati’ boleh merangkumi ibadat:

(i) Qunut Nazilah;

(ii) Solat Hajat; dan

(iii) doa.

 

Dr Afifi berkata, strategi Ireland iaitu negara Barat yang paling anti-Israel dan beranni merangka Rang Undang-Undang Control of Economic Activity (Occupied Territories) Bill 2018 untuk memboikot dan menyekat perdagangan dengan Israel.

 

abim

 

"Malaysia dan negara Islam dalam OIC lain pula bagaimana?  Ireland juga menghantar bantuan kewangan terus ke Gaza, bukan melalui NGO. Kerajaan mereka menghantar jurutera, dan membina kemudahan infrastruktur di sana," ujar beliau.

 

Selepas serangan zionis ke atas Masjid al-Aqsa baru-baru ini, Shaykh al-Azhar Dr Ahmed El-Tayeb, dan ulama-ulama al-Azhar yang lain pula mengeluarkan kenyataan tegas menyeru dunia Barat dan dunia Islam bersatu menentang kekejaman Israel dan menghentikan ‘double-standard’ beberapa negara dunia Barat.

 

"Adakah kenyataan Malaysia terhadap Israel suatu kenyataan bertaring atau tidak? Nabi Muhammad SAW mengajar kita untuk speak truth to power dan bercakap benar walaupun pahit kepada pihak berkuasa yang zalim, terutama sekali apabila kita tidak berupaya campur tangan ketenteraan," katanya.

 

Dr Afifi juga memaklumkan tentang satu badan antarabangsa kemanusiaan terkemuka, Human Rights Watch (HRW), yang pernah menegur kerajaan Malaysia apabila mengisytiharkan Darurat pada Januari 2021 dan memberhentikan Parlimen daripada bersidang.

 

Menurutnya, HRW telah mengeluarkan laporan bersejarah mereka pada April 2021, ini pertama kali yang berlaku dalam sejarah dunia dalam mengisytiharkan kerajaan Israel telah melakukan 2 jenayah kemanusiaan yang boleh dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa, iaitu jenayah Apartheid dan jenayah penganiayaan ke atas orang Palestin.

 

Malah, badan hak asasi manusia masyarakat Yahudi sendiri yang berpangkalan di Israel, iaitu B'Tselem, juga sudah mengisytiharkan kerajaan Israel sebagai Apartheid dan mengkritik penjajahan dan kekejaman rejim Israel.

 

abim
Laman web pertubuhan penduduk Israel sendiri yang menentang pendudukan Zionis ke atas Palestin. Klik di sini bagi meninjau laman web BTSelem

 

"Justeru, kita perlu mepergiatkan kempen untuk mengisytiharkan Israel sebagai Apartheid dengan membina gabungan dengan negara-negara yang sependapat.

 

"Gunakan pendekatan berasaskan isu hak asasi kemanusiaan, untuk membina kawan, bukannya lawan. Isu ini melangkaui isu politikal dan kolonialisme mahupun isu agama, dan inilah sebab disebalik ramainya penunjuk perasaan di kota-kota dunia Barat, terutama sekali daripada golongan belia, dan termasuklah masyarakat Yahudi dan orang Zionis yang insaf.

 

"Menggunakan naratif kemanusiaan akan membuka ruang baru untuk menyelesaikan konflik di bumi Palestin dan ini adalah satu langkah ke hadapan," ujar beliau.

 

Dr Afifi juga menyarankan kerajaan Malaysia (khususnya Duta Khas ke Timur Tengah) melobi negara-negara Arab yang sudah memulakan proses ‘normalisasi’ dengan Israel seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain untuk menarik balik pengiktirafan mereka supaya memberi tekanan diplomatik.

 

Lebih-lebih lagi kerana apabila mereka membuat perjanjian dengan Israel, antara syaratnya adalah untuk menyelesaikan isu Palestin. Ini boleh menjadi titik untuk memulakan diplomasi bagi kerajaan Malaysia.

 

Dr. Afifi berkata, "Mengecam sahaja tidak cukup; berpakatlah beramai-ramai".

 

"Gunakan cara diplomasi secara strategik dan tersusun dengan berpakat dengan negara-negara Islam dalam OIC yang memang lebih kritikal terhadap Israel seperti Turki dan Indonesia, dan negara-negara Barat seperti Ireland dan Norway, dan negara-negara Global South seperti Brazil dan Non-Aligned Movement (NAM).

 

"Membina gabungan ini akan memudahkan pengisytiharan Israel sebagai Apartheid iaitu dasar diskrimanis perkauman yang sangat kejam yang pernah berlaku di Afrika Selatan," kata beliau. - DagangNews.com