Sukarelawan KPT-UPM beri bantuan mangsa banjir di Pahang | DagangNews Skip to main content

Sukarelawan KPT-UPM beri bantuan mangsa banjir di Pahang

 Sukarelawan KPT-UPM beri bantuan mangsa banjir di Pahang

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengerakkan lebih daripada 100 staf dan pelajar dari kampus UPM Serdang dalam misi sukarelawan KPT-UPM ke Kg. Kuala Sentul, Maran, Pahang bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di beberapa kawasan berkenaan.

 

Misi bantuan tersebut diketuai Ketua Bahagian Hal Ehwal dan Alumni UPM, Nuruliman Ibrahim.

 

Turut menyertai misi itu, Ketua Bahagian Perumahan dan Penempatan UPM, Mohamed Shukri Mohamed Noor; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, Alif Akmal; wakil MPP, Fera Novianti, staf dan felo UPM.

 

.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Roslan Sulaiman memberi penghargaan terima kasih kepada staf dan pelajar yang terlibat dalam  misi itu dan berharap khidmat bakti yang dihulurkan dapat memberi sedikit kelegaan kepada mangsa banjir.

 

"Saya berharap bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membantu mangsa banjir dan diharapkan sifat cakna daripada staf dan pelajar UPM akan diamalkan secara berterusan untuk meningkatkan lagi budaya prihatin dalam menangani krisis bencana alam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

.

 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, misi kesukarelawan itu berfokus kepada bantuan daripada segi kewangan, keperluan harian dan pembersihan kawasan perumahan yang terjejas teruk akibat banjir. 

 

“Misi itu adalah salah satu wadah dalam usaha memberi peluang kepada staf dan pelajar UPM untuk berkhidmat dan berbakti kepada komuniti dan masyarakat, di samping menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menghasilkan graduan kental masa hadapan yang terlibat sama dalam misi dan program seperti ini,” ujar beliau.

 

.

 

Dalam misi berkenaan, pelbagai peralatan untuk kerja-kerja pembersihan dibawa dari UPM bagi melancarkan aktiviti yang dijalankan. - DagangNews.com