KUALA LUMPUR 1 Sept - Sunview Group Berhad hari ini memeterai perjanjian taja jamin bersama Alliance Islamic Bank Berhad bersempena dengan pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
IPO Sunviews merangkumi 118 juta merangkumi terbitan awam sebanyak 118 juta saham baharu yang mewakili kira-kira 25.21% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.
Daripada 118 juta saham baharu, 23.60 juta atau 5.04%, akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia, manakala sembilan juta saham atau 1.92%, akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Baki 85.40 juta saham atau 18.25% akan disediakan untuk permohonan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping berkata, perjanjian itu merupakan sesuatu yang penting buat kumpulan itu terutama menjelang penyenaraian mereka di Pasaran ACE.
Beliau berkata, permintaan untuk peralatan solar PV semakin bertambah kerana kebanyakan syarikat sedang beralih ke arah sifar bersih melalui pelbagai program tenaga boleh diperbaharui yang dimulakan oleh kerajaan.
"Kami berhasrat untuk menggunakan dana itu untuk mengembangkan lagi perniagaan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
"Hasilnya akan diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan, perbelanjaan modal, keperluan modal kerja, serta untuk membayar balik pinjaman bank dan membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian," katanya.
Sunview dijangka disenaraikan pada 4QFY22 dan Alliance Islamic Bank merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO itu. - DagangNews.com