Syarikat bersekutu Sedania, ESPL peroleh tanda dagang di Eropah | DagangNews Skip to main content

Syarikat bersekutu Sedania, ESPL peroleh tanda dagang di Eropah

 

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Sedania Innovator Berhad menerusi syarikat bersekutunya, Esports Pty Ltd (ESPL) berjaya memperoleh pendaftaran tanda dagang di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

 

Langkah itu dilihat penting untuk melindungi harta intelek di kesemua 27 negara EU, sekali gus membolehkan ESPL mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam ekosistem e-sport di rantau ini.

 

Rangkaian ESPL mempunyai akses kepada lebih 91 juta penonton global menerusi kerjasama strategik dengan 16 buah negara. 

 

Setakat ini, Sedania memaklumkan rangkaian ESPL ini meliputi 5 benua termasuk MENA, Eropah, Asia Selatan, Amerika Latin dan Asia Tenggara. 

 

Pengarah Urusan dan Pengasas Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pendaftaran tanda dagang itu adalah sebahagian daripada langkah strategik kumpulan untuk mendominasi pengembangan pasaran. 

 

Katanya, dengan ESPL ia membolehkan kumpulan berkembang secara komersial di negara-negar EU.

 

"Ini adalah antara langkah penting yang diambil syarikat untuk melindungi jenama global kami di peringkat antarabangsa. 

 

"Oleh itu, ia memberi kami keyakinan untuk melihat ESPL mengembangkan jenamanya dalam landasan yang betul," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

ESPL diasaskan secara bersama antara Azrin dan Kin Wai Lau yang merupakan pengasas iCandy Interactive Limited, pembangun permainan mudah alih yang memiliki komuniti seramai 350 juta orang dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif eSports.com, Michael Broda, peneraju global syarikat e-sport. 

 

Azrin menyifatkan, proses yang ketat untuk mendapatkan tanda dagang itu menunjukkan komitmen ESPL untuk memperkukuhkan kedudukan syarikat di peringkat global.

 

"Dalam hal ini, saya yakin, ia akan membuka lebih banyak laluan kepada kerjasama strategik dan membuka nilai peluang sinergi baharu," tambah beliau. - DagangNews.com