M. Saravanan
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnewscom
KUALA LUMPUR 3 Jun - Syarikat atau premis yang tidak mematuhi arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang terkini serta melanggar SOP akan diarahkan tutup serta merta selama tujuh hari dan dikompaun maksimum RM50,000.
Kuasa mengkompaun tersebut telah diserahkan kepada pegawai penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkuat kuasa 1 Jun 2021.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan peningkatan ketara jumlah aduan yang diterima melalui aplikasi Working for Workers (WFW) berhubung majikan yang tidak membenarkan pekerja untuk BDR.
"Sejak kategori BDR ini dibuka untuk aduan pada 23 Mei lalu, sejumlah 1,121 aduan telah diterima oleh KSM sehingga 2 Jun 2021.
"Bagi tempoh 3 Mei sehingga 2 Jun 2021, aplikasi WFW ini telah menerima sejumlah 1,767 aduan bagi 16 kategori lain.
"Daripada jumlah ini, aduan membabitkan gaji tidak dibayar dan pembayaran gaji lewat adalah sebanyak 260 kes, pembuangan kerja tanpa notis (73 kes), tiada pembayaran lebih masa dan faedah pemberhentian (68 kes) dan lain-lain," jelas beliau dalam satu kenyataan.
Selangor merekodkan jumlah aduan paling tinggi sebanyak 580 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (511 kes), Johor (223 kes), Pulau Pinang (134 kes) dan lain-lain.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa semua majikan untuk mematuhi dan memberikan kerjasama sepenuhnya SOP yang ditetapkan oleh kerajaan terutamanya dalam tempoh kritikal ini.
"KSM juga komited dalam memastikan hak dan kebajikan pekerja terus terpelihara di samping mengambil tindakan segera ke atas isu-isu perburuhan yang dihadapi oleh golongan pekerja.
"Para pekerja dinasihatkan untuk terus menyalurkan aduan dan permasalahan yang dihadapi melalui aplikasi WFW dan mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan wabak COVID-19," jelas beliau. - DagangNews.com