Syed Mokhtar jadikan MMC syarikat persendirian, bayar RM2.94 bilion | DagangNews Skip to main content

Syed Mokhtar jadikan MMC syarikat persendirian, bayar RM2.94 bilion

KUALA LUMPUR 4 Jun - Tan Sri Syed Mokhtar Shah Syed Nor mengemukakan tawaran untuk menjadikan MMC Corporation Bhd syarikat persendirian dengan kaedah pengurangan modal terpilih (SCR) bernilai RM2.94 bilion atau RM2 sesaham bagi setiap saham biasa dan proses pembayaran balik.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MMC menunjukkan surat tawaran daripada Seaport Terminal (Johore) Sdn Bhd (STJSB), yang menguasai 51.76 peratus kepentingan atau 1.58 bilion saham dalam MMC.

 

Syed Mokhtar memegang keseluruhan kepentingan ekuiti dalam STJSB menerusi Indra Cita Sdn Bhd.

 

Proses itu adalah untuk baki 1.46 bilion saham atau 48.24 peratus yang tidak dimiliki oleh STJSB. Ia akan membayar RM2.94 bilion atau RM2 sesaham untuknya.

 

"Sebaik kelulusan dan pelaksanaan cadangan SCR berjaya, modal saham MMC akan dikurangkan sebanyak RM2.93 bilion dengan cara membatalkan sebanyak RM1.46 bilion saham MMC dipegang oleh pemegang saham yang layak pada harga tawaran SCR," kata MMC, lapor Bernama.

 

Bagaimanapun, jika pengurangan modal cadangan SCR itu adalah lebih tinggi daripada modal saham terbitan sedia ada MMC sebanyak RM2.34 bilion merangkumi 3.04 bilion saham biasa dan bagi memudahcara transaksi itu, satu terbitan bonus dicadang akan dilakukan oleh MMC.

 

Ia kemudiannya akan meningkatkan modal saham MMC sehingga ke tahap mencukupi untuk melaksanakan cadangan SCR berkenaan.

 

MMC

 

Cadangan SCR itu memberikan fleksibiliti lebih tinggi kepada MMC untuk mengurus dan membangunkan perniagaan sedia ada, sambil meneroka peluang tanpa sekatan kawal selia dan kos pematuhan yang berkait dengan status penyenaraiannya.

 

Ini kerana, ia dianggap bersesuaian untuk meningkatkan penggunaan sumber, prospek dan pertumbuhan masa depan MMC Group bagi membolehkannya kekal berdaya saing. - DagangNews.com