TA Research unjur margin keuntungan Duopharma mendatar pada separuh kedua tahun ini | DagangNews Skip to main content

TA Research unjur margin keuntungan Duopharma mendatar pada separuh kedua tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - TA Research mengunjurkan margin keuntungan Duopharma Biotech Berhad bagi separuh kedua tahun ini kekal mendatar sama seperti yang dicatatkan pada suku kedua 2023.

 

Firma penyelidikan itu percaya jualan kerajaan kekal hambar, memandangkan senarai pembelian roduk yang diluluskan (APPL) adalah berdasarkan pesanan pembelian pada separuh kedua tahun ini.

 

Selain itu, sektor penjagaan kesihatan pengguna telah kembali normal dan dijangka berterusan sepanjang baki tahun ini.

 

"Pihak pengurusan mendedahkan sumbangan daripada insulin pada separuh kedua dijangka lebih baik berbanding separuh pertama 2023

 

"Duopharma akan menikmati elaun cukai pelaburan semula kira-kira RM10 juta untuk kilang K3 baharunya dan kami mengandaikan bahawa kadar cukai berkesan sebanyak 9.2% untuk FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu percaya bahawa segmen penjagaan kesihatan pengguna yang menyumbang antara 15% hingga 20% hasil akan menyaksikan aliran menaik, memandangkan jualan Vitamin C telah mencapai paras terendah pada suku kedua tahun ini.

 

Selain itu, produk anti keguguran rambut yang diperakui halal jenama IRORO kini tersedia kepada pengguna melalui platform e-dagang di Malaysia.

 

"Bagi sektor kepakaran beretika dan segmen eksport, kami menjangkakan jualan kekal berdaya tahan pada FY24.

 

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan keuntungan bersih Duopharma melonjak 26.3% kepada RM88.4 juta pada FY24," katanya.

 

TA Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.47 sesaham. - DagangNews.com