KUALA LUMPUR 5 Ogos - TA Securities menetapkan harga sasaran 41 sen untuk saham Agmo Holdings Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE, mewakili premium 57.7% kepada tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 26 sen sesaham.
Firma itu berkata, harga IPO yang ditawarkan sebanyak 26 sen oleh penyedia penyelesaian digital tempatan itu adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 12.6 kali berbanding pendapatan teras FY22 sesahamnya.
"Ini mengambil kira rekod prestasi kumpulan yang cemerlang, pasukan pengurusan yang berpengalaman dan kepakaran teknikal serta margin yang teguh dan prospek pertumbuhan pendapatannya,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Agmo yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Ogos 2022 menyasarkan untuk mengumpul RM22.1 juta daripada penyenaraian IPO.
Kumpulan itu akan memperuntukkan sebanyak RM9.47 juta untuk penyelidikan dan pembangunan, jualan, pemasaran dan pembangunan perniagaan.
Sejumlah RM6.22 juta akan digunakan sebagai modal kerja dan perbelanjaan berkaitan dan RM2.54 juta akan diperuntukkan untuk menubuhkan pusat latihan dan pembangunan.
Sementara itu, RM690,000 akan diperuntukkan untuk pengembangan serantau di Singapura manakala RM3.18 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
Kenanga Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com