KUALA LUMPUR 11 Sept - TA Securities positif terhadap prospek Inta Bina Group Berhad selepas berjaya meraih kontrak pembinaan bernilai RM43.65 juta melibatkan 162 rumah teres dua tingkat di Hulu Langat, Selangor.
Firma penyelidikan itu berkata, ia merupakan kejayaan ketiga yang diperoleh kumpulan itu pada tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini sebanyak RM329.5 juta.
"Dengan andaian margin keuntungan kasar 10%, projek itu dianggarkan menjana RM2.2 juta pendapatan bersih sepanjang tempoh pembinaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Inta Bina Sdn Bhd menerima surat anugerah (LOA) daripada Eco Majestic Development Sdn Bhd untuk kerja bangunan utama pada 8 September 2023.
Kontrak tersebut adalah untuk cadangan pembinaan dan penyiapan pembangunan skim perumahan komuniti berpagar dan berkawal (hakmilik strata) Precinct 9 Cheerywood Fasa 4.
Kumpulan itu berkata kontrak akan bermula pada 1 November 2023 bagi tempoh 20 bulan untuk menyiapkan rumah-rumah terbabit, sementara dua rumah contoh perlu siap dalam masa tujuh bulan dan pencawang TNB dalam enam bulan.
Firma penyelidikan itu berkata, Eco Majestic Development merupakan pelanggan tetap Inta Bina.
Katanya, kejayaan pekerjaan itu, jumlah buku pesanan terkumpul kumpulan itu kini berjumlah kira-kira RM1.1 bilion, bersamaan dengan 2.4x hasil FY22.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan FY23 hingga FY25 kerana kemenangan pekerjaan adalah dalam andaian penambahan buku pesanan FY23 kami sebanyak RM600 juta.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 34 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com