MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
DALAM tempoh sebulan, penganalisis saham terpaku kepada satu nama. Tan Sri Lee Kim Yew iaitu pengasas dan pengerusi eksekutif Country Heights Holdings Bhd.
Nama taikun ini muncul dalam dua entiti korporat – SMTrack dan SC Estate Builder Berhad (SCBuild).
Pada hari dagangan terakhir 2021, pasaran dikejutkan dengan rentetan peristiwa yang berlaku dalam SCBuild. Pemegang saham menolak pemilihan semula lapan calon pengarah sedia ada pada mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan pada 31 Disember 2021.
Sejurus selepas AGM ditangguhkan, ahli lembaga pengarah yang selebihnya melantik semula lapan pengarah yang disingkirkan itu ke dalam Lembaga Pengarah. Mereka terdiri daripada pengarah eksekutif dan pengarah bukan eksekutif bebas.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia Securities mengenai keputusan AGM, dinyatakan bahawa para pemegang saham menolak pemilihan semula lapan pengarah tersebut dengan 54.8% saham mengundi “Menentang” pelantikan semula mereka.
Dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia, SCBuild menyatakan bahawa baki pengarah yang tidak bertanding untuk pemilihan semula sewaktu AGM itu kemudiannya mengadakan mesyuarat khas Lembaga Pengarah dan melantik semula lapan individu yang tidak dipilih sebagai pengarah SCBuild.
Perkembangan ini berlaku dua hari selepas taikun Tan Sri Lee Kim Yew menuduh 10 pengarah itu bertindak menyalahi undang-undang dengan menolak pencalonan lapan individu yang bercita-cita untuk menjadi pengarah baharu syarikat itu.
Lee sendiri adalah seorang daripada mereka yang mahu mendapatkan pencalonan untuk bertanding sebagai calon Lembaga Pengarah SCBuild.
Dalam satu kenyataannya, Lee mendakwa 10 pengarah tersebut telah menolak pencalonannya tanpa memberikan justifikasi yang sewajarnya.
Pada peringkat awal, SCBuild menyatakan pandangannya bahawa kenyataan oleh Lee itu boleh ditafsirkan sebagai fitnah dan ia sedang mendapatkan nasihat perundangan tentang perkara itu.
SCBuild sebelum ini memfailkan saman untuk menghalang mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang bertujuan menggantikan empat pengarah daripada berlangsung pada 3 Jun tetapi telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 20 September.
SCBuild menjadi syarikat tersenarai pada 29 November 2005. Perniagaan teras syarikat ini ialah pembinaan dan industri berkaitan termasuk tenaga boleh diperbaharui, pembinaan rumah mampu milik serta menjalankan kerja-kerja infrastruktur dan perniagaan berkaitan.
SCBuild mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.86 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2021 (tahun kewangan 2021) berbanding kerugian bersih RM749,452 pada tahun kewangan 2020. Pendapatannya pula menyusut 53.41% kepada RM3.35 juta (tahun kewangan 2020: RM7.19 juta).
Dalam SMTrack pula, Lee telah muncul sebagai pemegang saham terbesar SMTrack pada 29 Disember 2021, setelah mengambil alih 28.5 juta saham atau 5.05% kepentingan di pasaran terbuka.
SMTrack adalah syarikat penyedia rumusan teknologi pengenalan berfrekuensi radio (RFID) untuk pelbagai kegunaan dan tersenarai di Pasaran ACE.
Perkhidmatan dan rumusan yang ditawarkannya merangkumi Penjejakan Perdagangan, Makanan dan Pengesanan Terjamin, Komunikasi Padang Berdekatan (NFC), Pengurusan Fleet Sistem Kedudukan Global (GPS) dan Rumusan Anti-Pemalsuan RFID.
Sebenarnya, kaunter saham SMTrack secara umumnya `tenang-tenang’ saja di Pasaran ACE sehinggalah pertengahan bulan lalu.
Saham SMTrack telah mencatatkan kenaikan pada 29 Disember 2021 apabila Lee muncul sebagai pemegang saham.
Kehadiran beliau melonjakkan harga saham SMTrack sehingga 31 Disember 2021 sebanyak 19 sen, mewakili 123% keuntungan hanya dalam tempoh 2 minggu daripada 8.5 sen pada 15 Disember 2021.
Nama Tan Sri Lee Kim Yew kini adalah magnet kepada pelabur saham. Malah kepada syarikat-syarikat tersenarai yang sahamnya di dalam kategori penny stock.
Berdasarkan apa yang berlaku di dalam SMTrack, ia pasti menceriakan semua pihak, yang mengharapkan pengaruh Lee dapat membantu meningkatkan portfolio saham di mata para pelabur.
Cuma di dalam SCBuild, usaha beliau untuk masuk tidak selancar yang diharapkan walaupun sudah muncul sebagai pelabur besar di dalamnya. Strategi Lee ialah seterusnya menguasai SCBuilt nampaknya mendapat tentangan daripada dalam, iaitu kalangan pemegang saham syarikat.
Bila dianalisis kedudukan Lee daripada dua perspektif ini, memiliki nama besar semata-mata belum menjamin keyakinan penuh pelabur, sekurang-kurangnya dalam konteks SCBuild.
Namun tidak salah jika anda membuat kaji selidik sendiri secara lebih mendalam. Telitilah rekod prestasi Tan Sri Lee Kim Yew, apa yang terjadi dengan The MINES, apa pula yang sedang berlaku di SMTrack, kerumitan di SCBuild.
Beliau sememangnya diakui sebagai ahli perniagaan yang handal dan telah mengharungi turun naik kitaran ekonomi negara. Namanya tetap memiliki daya tarikan dan pengaruhnya dalam kalangan pelabur.
Tetapi selidiklah dan telitilah serba-serbi termasuk fundamental sesebuah syarikat itu terlebih dahulu. Dengan cara ini, anda sebagai pelabur boleh membuat penilaian sendiri secara waras dan tidak bergantung kepada spekulasi atau perkembangan syarikat yang sekadar ‘menandatangani perjanjian memorandum’ semata-mata.
MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Sungai Lui oleh Aizat Amdan berulang-ulang kali.