Tasik Kenyir di Terengganu, tasik pelancongan pertama di Malaysia guna transaksi tanpa tunai | DagangNews Skip to main content

Tasik Kenyir di Terengganu, tasik pelancongan pertama di Malaysia guna transaksi tanpa tunai

Sebahagian pengusaha di Tasik Kenyir sudah pun mula menerima bayaran tanpa tunai untuk kemudahan pengunjung. - Gambar DagangNews.com
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 1 Ogos - Tasik Kenyir yang terletak di daerah Hulu Terengganu bakal menjadi tasik pelancongan pertama di Malaysia yang menggunakan transaksi tanpa tunai dalam masa terdekat.

 

Inisiatif itu adalah hasil kerjasama antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Bank Negara Malaysia Kuala Terengganu (BNMKT) untuk mentransformasikan perniagaan di Tasik Kenyir ke arah digitalisasi.

 

Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Abdul Aziz Abdul Rahim berkata pihaknya menyambut baik inisiatif tersebut kerana ia akan merancakkan lagi sektor ekonomi berasaskan pelancongan alam semulajadi di tasik buatan manusia terbesar Asia Tenggara tersebut.

 

"Persatuan sangat menggalakkan kira-kira 200 ahli termasuk pengusaha rumah bot, pengusaha rumah rakit, kedai makan dan gerai jualan kiosk sekitar Tasik Kenyir berdaftar untuk program transaksi tanpa tunai kerana banyak manfaat akan diperolehi dalam jangka masa panjang.

 

"Ketika ini, sebahagian pengusaha di Tasik Kenyir sudah pun mula menerima bayaran tanpa tunai dengan menggunakan aplikasi Boost dan ia mendapat maklum balas yang baik dari pelancong.

 

"Saya difahamkan, lebih banyak aplikasi akan digunakan secara berperingkat selepas ini untuk kemudahan pengunjung yang datang bercuti ke Tasik Kenyir," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

 

kenyir
Abdul Aziz Abdul Rahim (kanan) juga pengusaha rumah bot milik di Tasik Kenyir kini menyediakan pembayaran tanpa tunai.

 

 

Tasik Kenyir yang terdiri dari 340 pulau mempunyai beberapa destinasi pelancongan menarik antaranya air terjun Saok, air terjun Lasir, Taman Herba, Santuari Kelah, Gua Bewah, Pulau Poh, Gunung Gagau dan Gua Taat.

 

Selain terkenal sebagai 'syurga' untuk kaki pancing, Tasik Kenyir juga popular dengan beberapa aktiviti yang dianjurkan kerajaan negeri, syarikat swasta dan Ketengah seperti Kenyir Bird and Nature Quest, Kenyir Monsoon Casting Tournament, Festival Kenyir dan Karnival Beautiful Terengganu @ Kenyir.

 

 

kenyir
Aplikasi Boost akan merancakkan lagi industri pelancongan di Tasik Kenyir.

 

 

Seorang pengusaha rumah bot yang dihubungi DagangNews.com, Sulong Mustafa berkata inisiatif transaksi tanpa tunai di Tasik Kenyir sangat tepat pada masanya dan selaras hasrat kerajaan yang ingin memperkasakan tranformasi digital di Malaysia.

 

"Kita semua sedia maklum bahawa rakyat Malaysia terutama golongan muda sangat menggemari sistem kewangan digital ini kerana ia lebih selamat dan lebih mudah kerana semua jenis transaksi berada di hujung jari dan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana jua.

 

"Bagi usahawan seperti saya pula, pembayaran wang deposit dan tempahan penginapan di rumah bot lebih efisyen tanpa memerlukan saya berulang alik ke bank dengan kerap seperti sebelum ini.

 

"Begitu juga dengan pembelian di ratusan kedai makan, kiosk minuman serta barangan bebas cukai pastinya lebih mudah dengan kewujudan Boost sebagai satu lagi pilihan kepada pelancong di Tasik Kenyir.

 

"Kita faham penggunaannya juga lebih mengujakan melalui pemberian lebih banyak pulangan tunai dan rebat bagi merancakkan lagi perbelanjaan," katanya yang terlibat dalam bidang pelancongan rumah bot sejak sembilan tahun lepas.

 

 

kenyir
Pengunjung ke Tasik Kenyir kini boleh menggunakan transaksi tanpa tunai melalui aplikasi Boost.

 

kenyir
Kakitangan Boost memberi penerangan penggunaan aplikasi itu kepada peniaga di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

 

 

Ketika ini, transaksi tanpa tunai telah pun dilaksanakan di tiga destinasi pelancongan terkenal Terengganu iaitu Pulau Redang, Pasar Besar Kedai Payang dan Tasik Kenyir. - DagangNews.com