Taufan Laura lonjak harga jualan petrokimia Asia | DagangNews Skip to main content

Taufan Laura lonjak harga jualan petrokimia Asia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Taufan Laura yang melanda Amerika Syarikat (AS) pada 27 hingga 29 Ogos lalu telah melonjakkan harga jualan pasaran petrokimia Asia termasuk Malaysia. 

Ini adalah berikutan kilang petrokimia di AS terpaksa ditutup sementara menyebabkan tiada eksport dari negara berkenaan dan harga arbitaj ke Asia juga ditutup kerana kenaikan harga etilena dan polimer AS menjadikannya tidak berdaya saing di Asia.

Kenaikan harga selama satu hingga dua minggu itu juga didorong oleh bekalan serantau yang sedikit, bermulanya kemuncak musim pengeluaran polimer pertanian di China dan permulaan pengeluaran kain musim luruh dan musim sejuk.

Keadaan itu sekali gus membantu meningkatkan permintaan bahan polister seperti monoetilena glikol (MEG) dan paraxylene (PX).

CGS-CIMB Research berkata, kenaikan harga itu turut memberi manfaat kepada dua syarikat petrokimia Malaysia iaitu Lotte Chemical Titan (M) Sdn. Bhd. (LCT) dan Kumpulan Petronas Chemicals Berhad (PCG).

“Operasi LCT di Malaysia akan mula menerima manfaat pada suku ketiga 2020 (3Q20) daripada pengukuhan nafta PE/PP sejak bulan Mac dan kejatuhan harga nafta minggu ini pasti akan meningkatkan permintaan lebih tinggi pada bulan September.

“Bagaimanapun, kilang LCT di AS terjejas teruk akibat Taufan Laura yang terletak di Lake Charles, Louisiana iaitu laluan taufan itu. Walaupun tenaga elektrik dijangka ada (dalam tempoh dua hingga empat minggu), namun penilaian kerosakan dan pembaikan perlu dilakukan sebelum kilang itu boleh mula beroperasi. 

“Penutupan sementara kilang AS LCT akan meningkatkan kerugian saham yang telah ditempah iaitu sebanyak RM60 juta, memandangkan kilang itu tidak mampu mencatatkan hasil untuk menampung kemerosotan dan perbelanjaan faedah.

“Ramalan jangka masa pendek PCG bagi 3Q20 juga ditambahbaik didorong oleh harga jualan PE dan MEG,” jelas analisis CGS-CIMB. 

Harga petrokimia dijangka kekal mengukuh bagi dua hingga empat minggu, sehingga penghujung 3Q20 atau sehingga enam minggu akan datang.

Ini adalah tempoh masa yang diperlukan untuk musim tanaman agrikultur China selesai, kilang AS yang terjejas akibat taufan Laura kembali beroperasi serta musim permintaan tinggi polister mula reda. 

“Bermula suku keempat 2020 (4Q20) dan seterusnya, kami menjangkakan kewujudan kilang petrokimia Asia bertambah baik dan operasi kapasiti kilang baharu terutamanya di China akan menampung bekalan sedia ada, berpotensi menurunkan harga jualan Petrokimia,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com