TCS Group raih kontrak RM140.3 juta bagi kerja-kerja utama kompleks komersial di Bandar Seri Coalfields | DagangNews Skip to main content

TCS Group raih kontrak RM140.3 juta bagi kerja-kerja utama kompleks komersial di Bandar Seri Coalfields

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mac - TCS Group Holdings Berhad meraih kontrak bernilai RM140.27 juta daripada KLK Retail Centre Sdn Bhd bagi kerja-kerja bangunan utama cadangan kompleks komersial Bandar Seri Coalfields Retail Park di Bandar Seri Coalfields, Selangor.

 

Kontrak itu adalah bagi tempoh 19 bulan bermula Mac 2024 dan dijangka siap pada Oktober 2025.

 

Pengarah Urusan TCS Group, Datuk Ir Ir Tee Chai Seng berkata, pihaknya gembira dengan kontrak itu dan KLK merupakan pelanggan berulang mereka dan kontrak itu meningkatkan buku pesanan tertunggak semasa dan mengukuhkan keterlihatan pendapatan untuk tahun kewangan akan datang.

 

Beliau berkata, kumpulan itu positif terhadap prospek industry pembinaan disokong projek infrastruktur strategik, utiliti dan kemajuan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

 

"Kami melihat peluang dan membida projek pembinaan bangunan kediaman dan komersial, projek infrastruktur, serta bangunan institusi.

 

"Pada masa yang sama, kami juga mengambil kira landskap operasi perniagaan yang mencabar terutamanya keadaan kos bahan mentah yang meningkat disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan yang timbul daripada kesan akibat pandemik.

 

"Secara keseluruhannya, kami optimis namun berhati-hati terhadap prospek jangka panjang kumpulan berdasarkan faktor-faktor berkaitan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini. - DagangNews.com