Tempahan kerja Muhibbah Engineering terus meningkat - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Tempahan kerja Muhibbah Engineering terus meningkat - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Sept - Muhibbah Engineering Berhad berjaya menggandakan tempahan melebihi RM500 juta selepas berjaya meraih kontrak daripada Petronas Carigali bagi kerja-kerja penyediaan perolehan, pembinaan dan pentauliahan (PCC) Modul 9 di Terengganu.

 

MIDF Research berkata, selain itu mereka juga terlibat dengan kerja pemasangan paip bagi Projek Minyak Bersepadu Bekok di luar pesisir pantai negeri itu.

 

"Bagaimanapun bahagian dalam kontrak masih tidak jelas buat masa ini tetapi mereka adalah rakan kongsi utama di dalam konsortium dan projek itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

 

"Tempahan tertunggak lain adalah melibatkan segmen kren sebanyak RM560 juta termasuk RM141 juta pekerjaan automasi pintar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatan teras kumpulan itu meningkat 41.3% dari tahun ke tahun bagi 2QFY22 kepada RM380,000 manakala hasil susut sebanyak 32.1% kepada RM196.4 juta.

 

Pendapatan teras 1HFY22 kumpulan adalah sebanyak RM3.7 juta, walaupun terdapat peningkatan berbanding kerugian teras sebanyak RM2.4 juta pada 1HFY21, adalah jauh di bawah jangkaan menjadikan hanya 6.8% daripada unjuran tahun penuh kami dan 13.9% daripada konsensus.

 

Hasil daripada tiga segmen operasi kumpulan iaitu pembinaan infrastruktur, kren dan automasi serta konsesi adalah sebanyak RM469.2 juta untuk 1HFY22 dengan keuntungan sebelum cukai RM9.3 juta.

 

Ia adalah penurunan masing-masing sebanyak 20.2% dan 40.8% dari tahun ke tahun.

 

Penurunan hasil itu adalah daripada pengeluaran kren yang terjejas oleh kuarantin kakitangan operasi dan pekerja akibat COVID-19, selain komponen yang lebih tinggi dan kos penghantaran.

 

Firma itu berkata, walaupun prestasi kumpulan itu dilihat lemah namun mereka tetap positif terutama selepas pembukaan semula sektor ekonomi yang dijangka kembali memacu industri pembinaan termasuk kerja-kerja infrastruktur yang akan beri hasil positif kepada mereka.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 57 sen," katanya. - DagangNews.com