Gambar hiasan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Jun - Ada kemungkinan pelancaran tender projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang dirancang bermula awal Ogos depan ditangguh sehingga ke penghujung tahun 2021.
CGS-CIMB Research meramalkan perkara itu selepas membuat beberapa pemeriksaan, sambil menambah ini bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan ketika ini terdapat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
“Walaupun taklimat permintaan cadangan (RFP) telah dijalankan pada 19 April lalu, namun masih belum ada perkembangan signifikan sejak pelaksanaan itu.
“Bagaimanapun, dari aspek positifnya, kami mendapati bahawa pelan induk MRT3 masih lagi menjadi keutamaan tertinggi dalam projek mega yang mendatang,” jelas penganalisisnya, Sharizan Rosely dalam satu nota kajian.
Seperti diumumkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), pelan awal projek itu termasuk model pembiayaan hibrid dengan sektor swasta berpotensi membiayai sehingga 30% kos projek.
Turut menyaksikan pembahagian MRT3 ke dalam lima fasa utama serta tempoh pembinaan yang disasarkan selama 10 tahun bermula 2022 kekal tidak berubah.
Baca : MRT rancang kumpul dana jana 10-30% projek MRT3
“Di sebalik kekurangan dari segi garis masa, namun kami menjangkakan pemuktamadan pelan induk MRT3 baharu akan mencapai semula momentum dalam beberapa bulan akan datang, dipercepatkan oleh pelantikan Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi MRT Corp, berkuatkuasa 11 Mei,” tambah Sharizan.
Walaupun terdapat kemungkinan kelewatan dari segi pembidaan projek mega itu, namun menurut Sharizan, Gamuda Berhad masih lagi berada dalam kedudukan baik untuk merebut peranan besar dalam pembinaan MRT3.
Katanya, pemberian tender itu mungkin dilaksanakan pada kos yang disemak semula antara RM20 bilion hingga RM25 bilion di mana 30% hingga 50% lebih rendah berbanding kos asal, RM45 bilion yang diumumkan pada 2018.
Mengulas mengenai syarikat pembinaan itu, Sharizan berkata, Gamuda ketinggalan berbanding syarikat dengan permodalan besar di bawah liputan CGS-CIMB.
Walaupun dikecualikan dari Indeks MSCI Malaysia dan selepas itu dimasukkan ke dalam Indeks MSCI Malaysia Small Cap, Sharizan merasakan bahawa penurunan harga saham Gamuda sebanyak 18% setakat ini adalah tidak wajar dan sebahagian besarnya mencerminkan kemungkinan kelewatan MRT3 dan impak PKP penuh.
“Kekal ‘tambah’ (saham Gamuda) dan harga sasaran (TP) pada kadar RM4.18. Risiko kenaikan adalah Belanjawan 2022, MRT3, sementara risiko penurunan adalah kelewatan dalam pemulihan kerja-kerja (projek) mega,” tambah beliau lagi. - DagangNews.com