Tengku Zafrul bentangkan bacaan kedua RUU Perbekalan 2021 di Dewan Negara | DagangNews Skip to main content

Tengku Zafrul bentangkan bacaan kedua RUU Perbekalan 2021 di Dewan Negara

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 dibentangkan bagi bacaan kedua di Dewan Negara hari ini. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkannya dengan pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

 

Pindaan itu melibatkan Fasal 2 dalam teks bahasa Kebangsaan dan teks bahasa Inggeris Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 iaitu perkataan RM164,151,656,800 kepada RM164,106,656,800.

 

“Saya juga mohon memaklumkan bahawa Jadual kepada RUU Perbekalan 2021 dipinda di bawah ruang amaun bagi Maksud B.47, dengan menggantikan perkataan 1,242,464,900 dengan perkataan 1,197,464,900, dan pada jumlah dengan menggantikan perkataan 164,151,656,800 dengan perkataan 164,106,656,800,” katanya kepada Dewan Negara. 

 

Pindaan dibuat selepas pengurangan jumlah peruntukan bagi Maksud B. 47, di mana melibatkan pengurangan peruntukan RM45 juta di bawah Kepala Bekalan B. 47 di bawah butiran 050100 – Perluasan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

 

Baca : Usaha Tun M gagal, Belanjawan 2021 lulus

 

Semalam, Dewan Rakyat telah meluluskan Belanjawan 2021 selepas bacaan ketiga dengan majoriti tipis.

 

Seramai 111 Ahli Parlimen yang menyokong dan 108 yang menentang, manakala seorang Ahli Parlimen tidak hadir. 

 

Perkara itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selepas undian belah bahagian dijalankan.  - DagangNews.com