Terbitan hutang kerajaan separuh kedua 2024 dijangka kekal pada tahap semasa atau lebih rendah - Fitch Ratings | DagangNews Skip to main content

Terbitan hutang kerajaan separuh kedua 2024 dijangka kekal pada tahap semasa atau lebih rendah - Fitch Ratings

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Terbitan pasaran modal hutang (DCM) Malaysia untuk separuh kedua 2024 dijangka sepadan dengan tahap separuh pertama atau lebih rendah, didorong oleh penyatuan fiskal kerajaan yang dibuat secara beransur-ansur, dengan defisit persekutuan diunjurkan susut dalam tempoh terdekat, kata Fitch Ratings.

 

Firma penarafan itu melalui satu kenyataan hari ini berkata, rangsangan mampu dicetuskan daripada institusi kewangan dan terbitan korporat memandangkan mereka sedang berusaha untuk membiayai semula dan mempelbagaikan pembiayaan.

 

Memetik laporan, DCM Malaysia berkembang sebanyak 4.4% dari tahun ke tahun kepada US$550 bilion (US$1=RM4.417) terkumpul pada penghujung separuh pertama 2024 selepas DCM menghadapi risiko daripada ringgit, kadar, turun naik harga komoditi dan senario geopolitik global, kata Fitch.

 

Terbitan DCM pada separuh pertama 2024 turun 8.3% dari tahun ke tahun kepada US$45.2 bilion disebabkan oleh penyatuan fiskal, dengan defisit menjelang separuh pertama 2024 lebih rendah daripada separuh pertama 2023 dan kerajaan membuat sekitar 60% daripada jumlah terbitan pada separuh pertama 2024 atau US$28 bilion, manakala institusi kewangan, korporat, kewangan projek, dan lain-lain memegang selebihnya.

 

Ketua Kewangan Islam Global Fitch, Bashar Al Natoor berkata sukuk berkemungkinan kekal dominan dalam DCM disebabkan ekosistem yang menyokong.

 

“Pelabur dalam DCM Malaysia adalah lebih pelbagai dan ini merangkumi bank, tabung simpanan termasuk pencen, tabung haji, pengendali insurans, takaful serta pengurus dana berbanding negara lain dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya seperti dilapor Bernama.

 

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Jumlah hutang keseluruhan negara akan turun mulai 2027 - Rafizi

 

Firma itu memberi penarafan unjuran "Stabil” ke atas semua gred pelaburan dengan penerbit, sukuk Malaysia bernilai US$16 bilion.

 

Sementara itu, Bashar berkata ringgit yang lebih kukuh boleh menarik lebih banyak pegangan bukan pemastautin bagi bon kerajaan domestik.

 

“Kami menjangkakan faktor yang mendorong kejatuhan nilai ringgit, termasuk perbezaan kadar faedah negatif dan sentimen pelabur portfolio, menurun pada separuh kedua 2024,” jelasnya.

 

Bashar turut memuji usaha kerajaan dalam menyokong ringgit seperti menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membawa pulang pendapatan pelaburan asing dan menukarnya kepada ringgit secara konsisten. - DagangNews.com