53 negara lagi diberi kebenaran lalui autogate untuk kemasukan ke Malaysia | DagangNews Skip to main content

53 negara lagi diberi kebenaran lalui autogate untuk kemasukan ke Malaysia

Gambar/ FB Imigresen KLIA

KUALA LUMPUR 2 Dis - Jabatan Imigresen Malaysia melanjutkan kemudahan autogate untuk pemeriksaan kemasukan ke negara ini kepada pengunjung dari 53 negara lagi, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

 

Beliau berkata, negara-negara tersebut terdiri daripada 26 negara Kesatuan Eropah (EU), 17 negara Eropah di luar EU, enam negara Arab dan empat negara lain iaitu Kanada, Hong Kong, China dan Taiwan.

 

"Secara keseluruhan, pengunjung dari 60 negara kini diberikan kemudahan auto gate untuk pemeriksaan imigresen masuk ke Malaysia," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini, seperti laporan The Malay Mail yang memetik Bernama.

 

Beliau menjawab soalan daripada RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin mengetahui langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan dan jumlah mesin imbasan pasport automatik bagi memudahkan kemasukan pelancong asing ke negara ini.

 

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemudahan itu akan mempercepatkan dan mempermudah proses pemeriksaan di pintu masuk tanpa menjejaskan aspek keselamatan bagi menangani kesesakan.

 

Shamsul Anuar memberitahu, terdapat 1,568 unit mesin imbasan pasport automatik di titik keluar ke Malaysia.

 

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri sedang mempertimbangkan sistem baharu yang lebih berkesan bagi memastikan pemeriksaan imigresen berjalan lancar dengan memperkenalkan penggunaan kod tindak balas cepat (QR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Katanya, sistem tersebut dijangka mempercepatkan proses saringan di kaunter imigresen dengan pelancong hanya perlu mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan mereka.

 

"Penggunaan teknologi ini diharap dapat membantu meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara, terutama pada waktu puncak.

 

"Penggunaan kod QR akan diperluaskan di titik masuk negara yang sesuai, termasuk lapangan terbang antarabangsa lain serta pusat pemeriksaan di sempadan darat dan laut," tambahnya.

 

Beliau berkata, penggunaan sistem bersepadu tersebut bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan pengurusan imigresen, tetapi juga mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kaunter imigresen.

 

Pada 18 November lalu, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, kerajaan akan meluaskan penggunaan kod QR untuk pemeriksaan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), kedua-duanya di Johor, bagi perjalanan masuk dan keluar dari Singapura untuk semua jenis pengangkutan mulai 2025. - DagangNews.com