85 peratus majikan di Malaysia sedia tawar kenaikan gaji - Laporan Robert Walters | DagangNews Skip to main content

85 peratus majikan di Malaysia sedia tawar kenaikan gaji - Laporan Robert Walters

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Nov - Kira-kira 85 peratus majikan dilapor akan memberikan kenaikan gaji tahun depan, sejajar dengan jangkaan peningkatan gaji oleh golongan profesional, demikian menurut penyedia penyelesaian bakat, Robert Walters dalam Tinjauan Gaji 2025.

 

Dalam laporan tersebut, sebanyak 71 peratus majikan pula menyatakan kesediaan meningkatkan gaji antara satu hingga lima peratus bagi memenuhi sebahagian besar jangkaan pekerja.

 

Ia bagaimanapun mendedahkan, di sebalik tawaran berkenaan, pekerja dijangka mencari tawaran kerja yang memberikan gaji lebih lumayan dalam pasaran buruh yang kompetitif.

 

 

"Sebanyak 32 peratus pekerja berkata mereka akan meminta kenaikan gaji sebanyak 25 peratus dan ke atas daripada bakal majikan mereka," jelas laporan berkenaan.

 

Penemuan itu turut mendapati, sekitar 63 peratus majikan sukar untuk memenuhi jangkaan calon terhadap gaji dan manfaat yang lebih tinggi.

 

"Selain itu, sebanyak 41 peratus majikan mengatakan mereka menghadapi kesukaran untuk menawarkan gaji dan manfaat yang kompetitif untuk mengekalkan bakat, menunjukkan ketidakpadanan dalam perspektif antara majikan dan golongan profesional," katanya.

 

Dalam pada itu, laporan sama menyatakan, syarikat mengutamakan pengambilan pekerja berasaskan kemahiran susulan perubahan industri seperti kecerdasan buatan (AI) dan jurang dalam saluran bekalan bakat.

 

"Sebanyak 68 peratus daripada organisasi juga mengenal pasti persaingan yang tinggi untuk bakat sebagai cabaran utama dalam mengekalkan golongan profesional.

 

"Oleh itu, peningkatan kemahiran pekerja semakin menjadi keutamaan dengan 77 peratus majikan menawarkan kursus latihan dan pembangunan sebagai sebahagian daripada pakej manfaat pekerja yang kompetitif,” ujarnya.

 

Sementara itu, lebih separuh iaitu 55 peratus daripada majikan yang ditinjau mengatakan bahawa mereka meningkatkan rancangan pengambilan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

 

Laporan menyebut, sebanyak 64 peratus golongan profesional peringkat pertengahan hingga kanan, menyatakan keyakinan tentang prospek pekerjaan dalam bidang mereka, sementara 44 peratus masih mencari peluang kerja baharu walaupun sedang bekerja.

 

Dalam pada itu, Ketua Negara Robert Walters untuk Malaysia, Ai Rene Tan berkata, Malaysia berada di landasan ekonomi yang lebih kukuh selepas mengharungi jatuh bangun ekonomi global yang mencabar.

 

"Dengan Belanjawan 2025 memperkenalkan beberapa inisiatif yang menyasarkan aktiviti bernilai tinggi dan mempelbagaikan ekonomi, kami menjangkakan lebih banyak peranan bernilai tinggi serta peningkatan keperluan keupayaan digital merentas pelbagai pengkhususan.

 

"Perkembangan ini akan memainkan peranan penting dalam membuka pintu untuk peningkatan kemahiran, transformasi digital dan mewujudkan peluang pekerjaan, memacu permintaan untuk bakat mahir," katanya. - DagangNews.com