KUALA LUMPUR Okt - Pengambilalihan pegangan utama dalam Affin Bank oleh kerajaan negeri Sarawak minggu lepas, dijangka membantu bank itu mengukuhkan kehadirannya dengan ketara di rantau ini, kata firma TA Securities Holdings Bhd.
Dengan perkembangan berterusan di Sarawak, TA optimis mengenai prospek ekonomi negeri, kerana ia bersedia untuk menjadi satu daripada pemangkin ekonomi utama Malaysia.
Sebagai bank pembiayaan bagi kerajaan Sarawak, firma itu percaya Affin Bank berada di kedudukan yang ideal untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan negeri.
“Kumpulan perbankan Affin dijangka mendapat manfaat merentasi pelbagai segmen perniagaan, seperti peranan penasihat, peluang pertumbuhan pinjaman yang berpunca daripada PKS, dan pelbagai projek infrastruktur dan tenaga hijau yang kini diberi keutamaan oleh kerajaan,” katanya.
“Kami juga melihat peluang untuk mengembangkan asas deposit CASA yang lebih besar daripada potensi pergerakan gaji penjawat awam negeri Sarawak.
“Dengan jangkaan kenaikan gaji penjawat awam Sarawak, khususnya melalui rombakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan datang, yang akan meningkatkan pendapatan bulanan minimum kepada RM2,000, kami menjangkakan peluang besar untuk meningkatkan pangkalan deposit CASA bank.”
Secara kolektif, TA Research berkata faktor-faktor ini boleh menyokong sasaran pengurusan untuk mencapai pertumbuhan pinjaman lapan peratus bagi FY2024 dan meningkatkan margin faedah bersih (NIM) kepada 1.6 peratus daripada 1.4 peratus.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan peluang pertumbuhan bagi bahagian pengurusan kekayaan Affin Bank, didorong oleh prospek ekonomi Sarawak yang teguh.
“Kami percaya kemasukan pelaburan dan pemastautin asing yang mewah memberikan peluang berharga kepada Affin Bank untuk meningkatkan perkhidmatan pengurusan kekayaannya.”
TA Research berkata, Program Rumah Keduaku Sarawak-Malaysia (MM2H) muncul sebagai pilihan menarik untuk pelabur asing dan pesara yang mencari alternatif rumah kedua mampu milik.
Menurut Kementerian Pelancongan Sarawak, program itu dijangka menarik 650 pemohon pada 2024, peningkatan yang ketara daripada purata sejarah kira-kira 148 pemohon yang diluluskan setahun sejak penubuhannya pada 2007.
Inisiatif Sarawak-MM2H telah berjaya menarik pesara "bernilai tinggi", dengan sejumlah 2,593 peserta diluluskan sejak dilancarkan pada 2007.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Sarawak dianggar membayar RM1.76 bilion untuk miliki 31% kepentingan utama Affin Bank
Kebanyakan peserta semasa berasal dari China (373), diikuti oleh UK (342), Taiwan (258), Hong Kong (251), AS (198), dan Singapura (194).
“Walaupun prospek pertumbuhan adalah menjanjikan, kami percaya Affin Bank mungkin menghadapi tekanan kos jangka pendek kerana ia berusaha mengukuhkan keupayaan digitalnya dan mengembangkan kehadiran fizikalnya di Sarawak,” kata TA Research.
"Bank itu menyasar mengurangkan nisbah kos kepada pendapatan daripada 71.6 peratus pada FY23 kepada 64 peratus, yang memerlukan pengurusan sumber yang teliti dan pelaburan strategik dalam teknologi dan infrastruktur cawangan." - DagangNews.com