AmBank PJ New Town cawangan kesembilan Bask Bear berkonsepkan perbankan kafe | DagangNews Skip to main content

AmBank PJ New Town cawangan kesembilan Bask Bear berkonsepkan perbankan kafe

Pengarah Urusan Perbankan Runcit, AmBank, Aaron Loo (kiri) danPengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holdings, Bryan Loo semasa pelancaran cawangan baharu Bask Bear di AmBank PJ New Town.
Oleh Shamsiah Zulkafli

PETALING JAYA 1 Okt -  AmBank dan Bask Bear melancarkan cawangan AmBank PJ New Town, cawangan kesembilan berkonsepkan perbankan kafe, menandakan langkah penting ke arah mencapai sasaran 10 cawangan menjelang akhir tahun ini.

 

Kumpulan Ambank dalam satu kenyataan akhbar memaklumkan, sejak pelancaran konsep itu tahun lalu di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kedah, pelanggan menikmati pengalaman menenangkan di dalam bank sambil menjalankan urusan perbankan mereka di kafe.

 

Inisiatif itu sekali gus mengubah perbankan tradisional dengan menggabungkan elemen gaya hidup ke dalam rangkaian cawangan AmBank, dengan Bask Bear menyediakan suasana santai kepada pelanggan bagi menikmati minuman dan makanan berkualiti sambil melakukan transaksi perbankan.

 

Pengarah Urusan Perbankan Runcit, AmBank (M) Berhad, Aaron Loo berkata, kerjasama dengan Bask Bear membolehkan pihaknya membawa pendekatan baharu kepada pengalaman perbankan tradisional.

 

"Konsep ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dengan pelanggan sedia ada tetapi juga menarik pelanggan baharu.

 

"Kafe mencipta ruang selesa di mana pelanggan boleh menikmati kopi sambil menyelesaikan urusan perbankan mereka," katanya.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Loob Holding Sdn Bhd yang memiliki Bask Bear, Bryan Loo pula berkata, kerjasama dengan AmBank mengubah lanskap perbankan di Malaysia dengan menggabungkan dunia kewangan dan gaya hidup kafe.

 

"Kebolehan AmBank untuk berkembang membolehkan kami memperluaskan jangkauan dan sebagai balasan, konsep kafe kami telah memberi tenaga dan penglibatan baharu kepada rangkaian cawangan mereka," katanya.

 

Cawangan AmBank PJ New Town yang ditubuhkan pada tahun 1991, dipilih sebagai lokasi baharu perbankan kafe kerana lokasi strategik di kawasan komersial yang sibuk, dikelilingi banyak bangunan kerajaan tempatan termasuk Menara MBPJ dan Bangunan Persekutuan Petaling Jaya yang menempatkan pejabat kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan sebuah cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

 

Dengan hampir 3,500 kaki persegi yang dikongsi antara AmBank dan Bask Bear, AmBank PJ New Town benar-benar memaparkan konsep Perbankan Komuniti.

 

Selain AmBank PJ New Town, lapan cawangan lain yang mengetengahkan konsep perbankan cafe adalah AmBank Bandar Baru Bangi, Selangor; AmBank Lagenda Heights, Kedah; AmBank Sungai Dua, Pulau Pinang; AmBank Jalan Zabedah, Batu Pahat, Johor; AmBank Bandar Sri Permaisuri, Cheras; AmBank Sungai Buloh, Selangor dan AmBank Banting, Selangor.

 

Bryan menambah, bagi melengkapkan 10 cawangan cafe berkonsepkan sama menjelang akhir tahun ini, pihaknya memilih cawangan AmBank Rawang Country Homes yang juga satu daripada cawangan terbesar dan tersibuk di negara ini. - DagangNews.com