ASEAN teroka kerjasama baharu dengan dunia Arab, China - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

ASEAN teroka kerjasama baharu dengan dunia Arab, China - Perdana Menteri

Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjawab soalan semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. - Gambar/Bernama

KUALA LUMPUR 15 Okt - Penganjuran ASEAN 2025 yang dipengerusikan Malaysia akan memberikan kelebihan kepada ASEAN dalam meneroka kerjasama dengan dunia Arab dan China kerana ia melibatkan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Plus China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, pertama kali ASEAN akan menganjurkan persidangan 10 negara ASEAN dan GCC, termasuk Arab Saudi, UAE, Qatar, Bahrain dan Kuwait Plus China. China juga akan Bersama dan ia hanya berlaku tahun depan sebagai permulaan bagi ASEAN.

 

"Selain meneruskan perjumpaan ASEAN bersama rakan dialog dengan China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia, New Zealand, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS)," katanya menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.

 

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tiga penekanan diberi tumpuan Malaysia dalam mempengerusikan ASEAN tahun depan, dalam usaha melonjak serta meningkatkan kekuatan ekonomi di rantau ini.

 

"Kalau kita boleh jalin kerjasama, maka keupayaan kita akan meningkat kerana penekanan Malaysia adalah terhadap transformasi digital, termasuk perjanjian rangka kerja ekonomi digital ASEAN.

 

"Keduanya, perjanjian perdagangan bebas ASEAN dan dialog termasuk dengan EU dan ketiga adalah rangkaian tenaga grid ASEAN," katanya.

 

Menjawab soalan tambahan Amiruddin sama ada ASEAN bercadang melonggarkan sempadan Imigresen bagi melonjak potensinya, Anwar menjelaskan langkah sedemikian belum dapat dilakukan buat masa ini.- DagangNews.com