KUALA LUMPUR 1 Okt - RHB Investment menjangkakan Astro Malaysia Holdings Bhd akan melancarkan tiga pakej langganan baharu yang lebih murah kepada pelanggan bagi menggantikan pakej semasa.
Walaupun tawaran pakej baharu itu adalah berasaskan nilai dan dijangka mengurangkan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) namun ia boleh membantu membendung penyusutan dari segi langganan premiumnya.
Firma penyelidikan itu menyedari, kumpulan itu memperoleh pertumbuhan tertinggi daripada pelanggan Cina sejak 2019 pada suku tahun semasa.
RHB Investment berkata, hasil langganan, mencatatkan peningkatan berurutan dengan kadar pengambilan jalur lebar yang lebih tinggi dan usaha transformasi kumpulan akan memberi faedah kerana pengurangan kos mengambil masa.
"Pengukuhan ringgit dan potensi penembusan perbelanjaan iklan (adex) seharusnya memberi sedikit kelegaan kepada harga dan sentimen terhadap saham kumpulan.
"Walaupun kami mengandikan ringgit lebih kukuh berbanding dollar Amerika Syarikat (AS), kami percaya margin hanya akan menyaksikan peningkatan beransur-ansur kerana kos mengambil masa untuk menyusut, ditambah kesan tidak menentu daripada penetapan harga semula pakej," katanya alam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, Astro mencatatkan keuntungan bersih RM54.71 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2024, keputusan suku tahunan terbaiknya sejak suku berakhir Januari 2023, didorong perbelanjaan lebih rendah dan kos kewangan yang lebih baik berikutan impak pertukaran asing yang menggalakkan.
Keuntungan bersih suku tahunan meningkat lebih daripada dua kali ganda tahun ke tahun daripada RM23.65 juta walaupun perolehan merosot sebanyak 5.98% kepada RM787.3 juta, daripada RM837.37 juta, disebabkan oleh hasil langganan dan pengiklanan yang lebih rendah.
Firma penyelidikan itu menyemak turun unjuran pendapatan kumpulan pada FY25 sebanyak 13.6%.
Katanya, kumpulan itu juga dijangka berdepan beberapa cabaran termasuk masalah makroekonomi berterusan, pendapatan lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan dalam hasil langganan.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 27 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com
{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/ckRZkXV0Kl0.jpg?itok=IEmWsUOa","video_url":"https://youtu.be/ckRZkXV0Kl0","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}