Bakal disenarai di Pasaran ACE, Malacca Securities menilai harga saham Sorento Capital pada 61 sen | DagangNews Skip to main content

Bakal disenarai di Pasaran ACE, Malacca Securities menilai harga saham Sorento Capital pada 61 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - Malacca Securities memberikan nilai wajar kepada pengedar peralatan bilik mandi dan dapur, Sorento Capital Bhd pada 61 sen.

 

Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 37 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada  28 Oktober 2024.

 

“Oleh itu, kami mengaitkan sasaran P/E sebanyak 18 kali ganda kepada EPS pertengahan tahun 2026 yang selaras dengan purata berat PER syarikat-syarikat setara dalam sektor itu.

 

"Secara dasarnya kumpulan itu terlibat pemasaran, pengedaran dan penjualan barangan kebersihan bilik mandi dan dapur, dengan jenama rumahnya termasuk 'Sorento', 'Mocha', 'Cabana', dan 'i-Born'. 

 

"Syarikat itu juga merupakan pengedar yang dilantik untuk jenama bilik mandi dan peralatan kebersihan dapur pihak ketiga asing seperti ‘Bravat’ (pengedar bukan eksklusif) dan ‘Infinity’ (pengedar eksklusif).

 

Firma penyelidikan itu meramalkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 10% dengan keuntungan bersih teras dijangka mencecah RM28.5 juta hingga RM32.6 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sorento Capital tetapkan IPO pada 37 sen sesaham bagi mengumpul RM84.7 juta di Pasaran ACE

 

Katanya, pertumbuhan itu disokong persekitaran ringgit lebih kukuh, menambah baik pasaran hartanah pada 2025 dan penambahan 200 pengedar dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

"Walaupun model perniagaan berasaskan pengedarannya, kumpulan itu telah meningkatkan keuntungan bersih dan margin daripada 11.8% pada FY21 kepada 16.1% pada FY24.

 

"Margin meningkat kepada 22.2% pada FY23, disebabkan sumber bahan pukal dari China. 

 

"Memandang ke hadapan, kami menjangkakan bahawa syarikat akan menstabilkan margin untun bersihnya sekitar 16% hingga 17%, kerana pembekal baharu dijangka memberikan kecekapan kos yang lebih baik," katanya.

 

Di bawah terbitan awam yang akan mengumpul RM57.35 juta, syarikat memperuntukkan 43 juta saham baharu kepada orang ramai, 16 juta saham untuk orang yang layak, dan 96 juta saham kepada pelabur yang diluluskan Bumiputera melalui penempatan persendirian.

 

Lebih separuh daripada hasil akan diperuntukkan untuk pembelian inventori. Syarikat itu juga akan menggunakan 10% untuk penjenamaan dan promosi, dan 10% lagi untuk pengembangan rangkaian pengedarnya.

 

Sorento juga akan menggunakan 16% untuk membayar balik pinjaman bank, dan selebihnya untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

Tawaran jualan itu melibatkan penempatan persendirian dan pelabur Bumiputera diluluskan akan mengaut hasil RM27.38 juta, yang akan terakru sepenuhnya kepada Pengarah Urusan Sorento Capital, Loo Chai Lai.

 

Alliance Islamic Bank merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO.- DagangNews.com