KUALA LUMPUR 21 Nov - Bank Islam Malaysia Berhad memperkenalkan platform perbankan digital berteknologi terkini, aplikasi perbankan mudah alih BIMB Mobile (BIMB Mobile) dan BIMB Web (web.bimb.com).
Pengenalan tersebut menandakan usaha penting Bank Islam menambah baik pengalaman perbankan lebih empat juta pelanggannya di seluruh negara dengan navigasi lebih lancar serta keselamatan yang dipertingkat.
Direka untuk memenuhi keperluan perbankan pelanggan yang sentiasa berubah, kedua-dua platform ini menawarkan fungsi komprehensif yang memperkasakan pengguna mengurus kewangan mereka dengan lebih mudah dan yakin.
Dengan ciri keselamatan yang ditambah baik, bersifat peribadi selain rekaan moden yang intuitif, kedua-dua platform ini menawarkan pengalaman perbankan yang mudah dan khusus serta sekali gus memberikan kawalan transaksi sepenuhnya kepada pelanggan tanpa batasan waktu atau lokasi.
Pelancaran platform ini menandakan pencapaian penting dalam perjalanan transformasi digital Bank Islam. Ia menampilkan teknologi terkini dan fungsi yang diperbaharui untuk memenuhi permintaan pasaran dan amalan baik industri.
Selain itu, kedua-dua platform ini menyediakan perkhidmatan yang ditambah baik, penggunaan teknologi maju selain dilengkapi infrastruktur operasi yang memberi tumpuan terhadap peningkatan kestabilan dan keselamatan serta mudah untuk digunakan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata, platform perbankan digital baharu ini direka untuk memenuhi skala penggunaan yang lebih besar dengan keupayaan yang diperluas dan lebih stabil berbanding perkhidmatan sebelumnya.
“Maklum balas daripada pelanggan menjadi pemangkin untuk kami mereka bentuk platform yang dilengkapi antara muka moden dan ciri-ciri canggih yang memberikan pengalaman pengguna yang dipertingkatkan, sesuai dengan gaya hidup digital masa kini tanpa mengira tahap kemahiran teknologi pelanggan.
"Ciri baharu ini turut menyerlahkan konsep perbankan tanpa cawangan dengan menyediakan kemudahan maksimum kepada pelanggan kami,” jelasnya.
Kedua-dua platform baharu itu memberi keupayaan kepada Bank Islam untuk lebih anjal dan mampu mengembangkan ciri-ciri baharu seperti meningkatkan kapasiti atau pengenalan fungsi baharu bagi memenuhi pertumbuhan trafik dan keperluan pasaran pada masa hadapan.
Bank Islam optimis pelanggan akan teruja untuk beralih ke platform baharu ini serta menyambut baik sebarang maklum balas bagi terus memperhalusi serta mengukuhkan pengalaman perbankan pelanggan.
Aplikasi perbankan mudah alih terdahulu, GO by Bank Islam (GO) telah memanfaatkan lebih 1.9 juta pelanggan aktif sejak kira-kira lima tahun lalu. Sehingga Oktober 2024, Bank Islam telah mencatatkan sejumlah 5.9 bilion transaksi dalam talian, termasuk 3.5 bilion daripadanya disempurnakan melalui platform Perbankan Internet Bank Islam (IB, www.bankislam.biz).
Pelanggan baharu atau pengguna sedia ada GO by Bank Islam kini boleh memuat turun aplikasi baharu ini melalui Apple AppStore, Google PlayStore, atau Huawei AppGallery untuk merasai pengalaman perbankan yang lebih baik.
Pada masa sama, platform GO by Bank Islam dan IB akan terus beroperasi bagi memastikan perkhidmatan pelanggan tidak terganggu sepanjang proses peralihan ke platform baharu. Platform GO dan IB dijadual untuk ditamatkan operasi sepenuhnya menjelang November 2025. - DagangNews.com