Bank Islam rekod peningkatan untung bersih kepada RM396.8 juta pada 9MFY24 dipacu hasil lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Bank Islam rekod peningkatan untung bersih kepada RM396.8 juta pada 9MFY24 dipacu hasil lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Bank Islam Malaysia Berhad merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM396.8 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24), peningkatan 0.5% berbanding tempoh sama pada 2023. 

 

Kumpulan itu berkata, keuntungan ini dipacu oleh pendapatan bersih lebih tinggi dan pengurangan peruntukan bersih rosot nilai ke atas pembiayaan. 

 

Katanya, sebahagian besar daripada pertumbuhan pendapatan bersih dipacu oleh kenaikan 4.9% pendapatan berasaskan dana bersih yang meningkat kepada RM1.6 bilion, disokong oleh pertumbuhan pelaburan sekuriti dan pembiayaan dari tahun ke tahun.

 

"Oleh itu, margin pendapatan bersih (NIM) meningkat kepada 2.15% bagi 9MFY24 berbanding 2.11% pada 9MFY23. Selain itu, Kumpulan merekodkan pertumbuhan fi dan komisen sebanyak 10.8% bagi tempoh penilaian. 

 

"Bagaimanapun, jumlah pendapatan bukan berasaskan dana menyusut 12.4% disebabkan penyusutan perolehan bersih daripada transaksi tukaran mata wang asing dan pendapatan pelaburan yang rendah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Peruntukan bersih kumpulan untuk pembiayaan terjejas dan pendahuluan menurun sebanyak 29.9% kepada RM115.5 juta. Angka ini mencerminkan kemajuan dalam kos pembiayaan kredit kepada 0.23% berbanding 0.33% yang dicatatkan pada 9MFY23. 

 

bank islam
Datuk Mohd Muazzam Mohamed

 

Setakat 30 September 2024, nisbah pembiayaan terjejas kasar berada pada 1.02%, jauh lebih baik berbanding purata industri sebanyak 1.54%, mempamerkan kualiti aset kumpulan yang teguh. 

 

Jumlah aset Kumpulan berada pada kedudukan RM98.3 bilion pada akhir September 2024, pengukuhan 6.5% yang didorong oleh pertumbuhan pelaburan sekuriti dan pembiayaan. Oleh itu, aset bersih sesaham lebih tinggi pada RM3.43 berbanding 9MFY23. 

 

"Bagaimanapun, penyusutan dalam pembiayaan korporat telah menyebabkan jumlah pembiayaan kasar mencatatkan pertumbuhan 1.7% kepada RM68.5 bilion. Akaun deposit dan pelaburan pelanggan meningkat 6% kepada RM78.4 billion," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, sektor perkhidmatan kewangan sedang berkembang maju, didorong oleh keperluan pelanggan dan perkembangan teknologi. 

 

Beliau berkata, mengambil kira perbelanjaan kumpulan, pelaburan ini perlu untuk memastikan kami seiring dengan trend industri dan mencapai penanda aras baharu perbankan Islam.

 

"Hasil utama inisiatif ini termasuk suai tugas digital yang mudah dan ciri-ciri perbankan dipertingkat melalui aplikasi mudah alih BIMB Mobile dan platform perbankan Internet BIMB Web yang baru dilancarkan. 

 

"Penambahbaikan ini mengambil kira maklumbalas pelanggan berkaitan penggunaan, mementingkan kemudahan, akses dan keterangkuman. Selain itu, teknologi terkini juga dimanfaat untuk meningkatkan keselamatan dan pengurusan risiko, melindungi pelanggan daripada aktiviti penipuan, pada masa sama, memacu pertumbuhan 
perniagaan yang mampan. 

 

“Dengan mengutamakan transformasi digital, Bank Islam sedang membina ekosistem kukuh yang memanfaatkan pelanggan, kakitangan dan masyarakat," katanya. - DagangNews.com