KUALA LUMPUR 26 Dis - Bank Islam Malaysia Berhad menyasarkan untuk meningkatkan portfolio pembiayaan mampannya kepada RM28 bilion menjelang akhir 2025.
Pada September 2024, Bank Islam telah melepasi sasaran awal RM4 bilion dengan mencatatkan RM4.8 bilion dalam pembiayaan hijau dengan angka berkenaan jauh mendahului sasaran 2025 yang ditetapkan serta menonjolkan peranan mereka dalam memacu ekonomi hijau negara.
Antara elemen elemen utama dalam strategi kemampanan Bank Islam adalah Akaun Pelaburan Mampan Ihsan (ISIA) yang dilancarkan pada 2023.
ISIA merupakan pendekatan transformasi dalam portfolio pelaburan pelbagai aset bukan runcit yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan selaras dengan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (CCPT) Bank Negara Malaysia (BNM).
"Melalui ISIA, Bank Islam membuka peluang pelaburan dalam sektor penting seperti tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan mesra alam, pembiayaan hijau, air bersih dan sanitasi serta pembangunan bandar mampan.
"Inisiatif ini membolehkan pelabur menyumbang kepada ekonomi hijau yang berimpak tinggi, serta memupuk ekonomi yang mesra alam dan memastikan ekosistem yang inklusif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bank Islam turut memberi tumpuan dan menyokong peralihan Malaysia ke arah penggunaan tenaga bersih dengan membiayai projek tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro.
Usaha itu seiring dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Teras pendekatan Bank Islam adalah proses penilaian risiko yang kukuh bagi memastikan setiap keputusan pembiayaan sejajar dengan prinsip Syariah-Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Bank menilai secara menyeluruh profil pelanggan, amalan pengurusan dan pensijilan kemampanan sebelum meluluskan pembiayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, komitmen pihaknya terhadap kewangan hijau bukan sekadar pematuhan kawal selia tetapi usaha untuk mewujudkan perubahan positif yang akan membentuk ekonomi Malaysia untuk generasi akan datang.
"Dengan memberi tumpuan kepada rumusan pembiayaan mampan, kami bukan sahaja menyokong industri penting demi masa depan Malaysia, seperti tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan, tetapi juga memastikan kami melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang," katanya.
Bagi mengukuhkan lagi komitmen terhadap kemampanan, Bank Islam baru-baru ini menjadi bank pertama di Malaysia yang melahirkan 86 Penasihat Kewangan Hijau Bertauliah (CGFA) melalui program latihan komprehensif yang dibangunkan dengan kerjasama Asian Banking School. - DagangNews.com