Bank Negara Malaysia diramal kekalkan OPR pada 3.00 peratus, kata Standard Chartered | DagangNews Skip to main content

Bank Negara Malaysia diramal kekalkan OPR pada 3.00 peratus, kata Standard Chartered

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3%, kata Standard Chartered. 

 

Bank pusat akan mengumumkan keputusan dasar monetarinya pada 22 Januari 2025.

 

"Dengan pertumbuhan yang teguh dan inflasi yang boleh diurus, keputusan status quo tidak mengejutkan. 

 

"Walaupun pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat dilihat perlahan, ia masih kekal baik pada 4.8% tahun ke tahun (YoY)," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tindakan BNM bergantung kepada pandangan bank pusat terhadap prestasi ringgit baru-baru ini.

 

"Ringgit kini mengatasi prestasi pertukaran asing (forex) serantau sepanjang sembilan bulan pertama 2024.

 

"BNM mendapati ringgit berada di paras bawah nilai pda Mac dan menjelang Mei, BNM berpendapat ringgit setara dengan asas ekonomi negara. Akhirnya pada Julai sehingga September, bank pusat itu berkata ringgit dipengaruhi oleh faktor luar," katanya. 

 

Standard Chartered juga berkata, ringgit telah menyusut 8.3% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak akhir September dan merupakan prestasi rendah (ex-KRW) di rantau ini.

 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini berkata, ringgit berada di bawah nilai, manakala Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour menegaskan bank pusat bersedia menguruskan risiko turun naik yang berlebihan dalam pasaran forex.

 

“Kami menjangkakan BNM mengulangi penglibatannya dengan pihak berkepentingan untuk menyokong ringgit.

 

"Bagaimanapun, bank pusat mungkin tidak berpendapat ringgit terkurang nilai, memandangkan setakat 7 Januari 2025, kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) adalah kira-kira 3.8% melebihi purata 10 tahun," katanya. - DagangNews.com