Batal perjanjian, Souqa Fintech pertimbang saman HeiTech Padu | DagangNews Skip to main content

Batal perjanjian, Souqa Fintech pertimbang saman HeiTech Padu

KUALA LUMPUR 8 Okt - Souqa Fintech Sdn Bhd, platform pembayaran dalam talian bersepadu yang memilik gerbang pembayaran Islamik, PayHalal sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas HeiTech Padu Bhd.

 

Ini berikutan HeiTech Padu membatalkan perjanjian untuk memperoleh 30 peratus pegangan dalam Souqa Fintech, kurang dua minggu selepas menandatangani perjanjian langganan saham (SSA).

 

Pengasas dan Pengarah Urusan PayHalal, Pat Salam berkata, pihaknya tidak mengetahui punca sebenar mengapa perjanjian itu dibatalkan.

 

"Isu sebenar (pembatalan perjanjian ini) tidak diketahui.

 

"Pihak Souqa Fintech telah menerbitkan 7,333,333 saham kepada HeiTech melalui anak syarikat milik penuhnya, Synergy Grid Sdn Bhd pada 27 September lalu menerusi perjanjian langganan saham," katanya kepada BH.

     

    ARTIKEL BERKAITAN: HeiTech Padu batal beli 30% kepentingan dalam Souqa Fintech tidak sampai dua minggu meterai SSA

     

    Dalam makuman kepada Bursa Malaysia semalam, HeiTech Padu menyatakan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Synergy Grid telah mengeluarkan notis pembatalan 'di bawah klausa 3.3 SSA', yang menyebabkan perjanjian itu tersebut terbatal serta-merta.

     

    Namun, HeiTech Padu tidak memberikan butiran mengenai klausa 3.3 SSA.

    "Lembaga pengarah, setelah mempertimbangkan semua aspek, berpendapat bahawa pembatalan ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat," menurut kenyataan Heitech Padu.

     

    Syarikat itu juga menekankan bahawa pembatalan SSA dijangka tidak akan memberi kesan material kepada pendapatan, aset bersih, atau aset anak syarikatnya bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024.

     

    Pada 27 September lalu, HeiTech Padu mengumumkan bahawa Synergy Grid akan memperoleh 30 peratus pegangan, bersamaan dengan 10.78 juta saham, dalam Souqa Fintech yang dimiliki secara persendirian dengan harga RM16.17 juta, atau RM1.50 sesaham.

     

    Pengambilalihan itu bertujuan untuk mengembangkan lagi ke dalam industri fintech, terutamanya dalam ekosistem e-dagang berasaskan Islam, di samping penyelesaian fintech konvensional yang sedia ada, menurut HeiTech Padu pada masa itu. - DagangNews.com