Bekas CEO Tabung Haji Nik Mohd Hasyudeen Yusoff anggotai Lembaga Pengarah SC | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO Tabung Haji Nik Mohd Hasyudeen Yusoff anggotai Lembaga Pengarah SC

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Jan - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan pelantikan Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 15 Januari 2025.

 

Dilantik oleh Menteri Kewangan, Lembaga Pengarah SC bertanggungjawab memantau keseluruhan tadbir urus SC dan mempunyai pengawasan terhadap mandat kawal selia dan pembangunannya.

 

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi mengalu-alukan pelantikan Datuk Nik Hasyudeen. “Pengalaman luas Nik Hasyudeen dalam industri, kawal selia dan antarabangsa akan bantu mengukuhkan Lembaga Pengarah SC dalam melaksanakan dua mandatnya,” katanya.

 

Dengan lebih 30 tahun pengalaman, Datuk Nik Hasyudeen telah memegang peranan kepimpinan dalam pelbagai organisasi.

 

Beliau kini menganggotai lembaga pengarah Program Felo Perdana, Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad dan Bank Islam Malaysia Berhad.

 

Sebelum ini, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Pengarah Eksekutif SC yang bertanggungjawab dalam Penyeliaan Pasaran dan Korporat dan Pengerusi Eksekutif Lembaga Pemantauan Audit.

 

Beliau juga merupakan Presiden Institut Akauntan Malaysia, ahli Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia dan sebahagian daripada Lembaga dan Jawatankuasa Strategi Gabungan Akauntan Asia dan Pasifik.

 

Nik Hasyudeen juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

 

Beliau memegang ijazah dalam Perniagaan dari Universiti Teknologi Curtin, Perth, Australia Barat. - DagangNews.com