Cadangan hadkan pembelian hartanah rakyat Malaysia boleh jejaskan industri perumahan - Rehda | DagangNews Skip to main content

Cadangan hadkan pembelian hartanah rakyat Malaysia boleh jejaskan industri perumahan - Rehda

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Nov - Malaysia tidak seharusnya mengenakan sekatan terhadap pembelian hartanah kerana boleh menjejaskan industri perumahan dan 180 sektor berkaitan, yang akhirnya akan memberi kesan kepada ekonomi negara, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

 

Rehda menyokong pendirian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang menentang cadangan had bilangan hartanah kediaman yang boleh dibeli oleh rakyat Malaysia.

 

Presiden persatuan itu, Datuk Ir Ho Hon Sang bersetuju dengan pendirian menteri bahawa Malaysia adalah ekonomi pasaran bebas dan mengenakan had terhadap pelaburan dalam pembelian rumah adalah tidak menguntungkan.

 

"Pembelian hartanah dilakukan atas pelbagai sebab selain daripada tempat berlindung, seperti melindungi daripada inflasi dan pemeliharaan kekayaan. 

 

Ada yang membelinya sebagai hadiah untuk ahli keluarga, seperti ibu bapa yang membeli rumah untuk anak-anak mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, ia ditambah dengan keadaan rakyat Malaysia yang tidak mampu membeli rumah, sebaliknya menyewa daripada pemilik rumah.

 

"Selain isu pembiayaan, terdapat juga individu yang berpindah mengikut pekerjaan dan mereka yang tidak berniat untuk melabur dalam hartanah, tetapi memilih pelaburan lain. Golongan ini memilih untuk menyewa rumah," katanya.

 

Tambah Hon Sang, tindakan mengehadkan pelaburan hartanah hanya akan membantutkan pembinaan lebih banyak kediaman, sedangkan populasi negara masih berkembang.

 

"Apabila permintaan melebihi penawaran, ia boleh menyebabkan peningkatan harga rumah serta sewa dan mungkin juga menyebabkan masalah gelandangan.

 

"Daripada mengawal bilangan rumah yang boleh dibeli oleh seseorang sebagai cara untuk menangani isu perumahan, kerajaan seharusnya memberikan banyak insentif untuk membina lebih banyak rumah di lokasi yang sesuai," katanya. - DagangNews.com