KUALA LUMPUR 22 Jan - Ann Joo Resources Bhd telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi membayar Amsteel Mills Sdn Bhd sebanyak RM11.98 juta sebagai ganti rugi am berhubung pertikaian kontrak bekalan.
Tuntutan ganti rugi am adalah satu-satunya tuntutan yang dibenarkan oleh mahkamah dalam saman Amsteel terhadap unit milik penuh Ann Joo, Ann Joo Steel Bhd, atas dakwaan penamatan kontrak bekalan dan tambahan secara salah, menurut Ann Joo dalam makluman di Bursa Malaysia.
Tuntutan lain oleh Amsteel, sebuah unit Lion Corp Bhd, yang ditolak oleh mahkamah, termasuk RM14.96 juta untuk kehilangan keuntungan, dan RM885,200 sebagai ganti rugi alternatif.
Amsteel juga tidak berjaya dalam mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa ia berhak untuk kehilangan keuntungan kerana kegagalan Ann Joo Steel meneruskan kontrak, dan pengembalian atau akaun keuntungan untuk pengayaan yang tidak adil.
“Mahkamah Tinggi tidak memberikan alasan penuh keputusannya.
"Ann Joo Steel perlu menunggu alasan penulisan penghakiman itu diterbitkan sebelum Ann Joo Steel boleh menentukan sebab yang tepat bagi keputusan Mahkamah Tinggi,” kata makluman itu lagi.
Keputusan Mahkamah Tinggi telah disampaikan pada 28 Nov tahun lepas. Ann Joo berkata ia telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan yang memerintahkannya membayar RM11.98 juta kepada Amsteel.
"Amsteel juga telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutannya untuk pengayaan yang tidak adil dan kehilangan keuntungan," tambah Ann Joo. - DagangNews.com