Projek usaha sama Dialog-PetGas dijangka jana pendapatan RM10 juta setahun mulai 2027 | DagangNews Skip to main content

Projek usaha sama Dialog-PetGas dijangka jana pendapatan RM10 juta setahun mulai 2027

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Jan - Usaha sama Dialog Group Bhd dengan Petronas Gas Bhd (PetGas) untuk menubuhkan kemudahan unit pemisahan udara (ASU) dijangka menyumbang kira-kira RM10 juta setahun dalam keuntungan selepas cukai kepada Dialog mulai 2027, kurang 2% daripada unjuran kewangan tahun 2026 (FY26).

 

Menurut CGS International Research (CGSI Research), projek itu sesuai untuk Dialog memandangkan sifatnya yang berisiko rendah selain boleh meningkatkan penggunaan kawasan tanah Terminal Laut Dalam Pengerang, walaupun dilaksanakan secara berperingkat.

 

"Projek yang lebih signifikan sedang menanti, termasuk terminal tangki baharu untuk kilang penapisan bio dan kilang penapis kondensasi di Pengerang.

 

"Ia akan menyumbang kepada pendapatan Dialog pada tahun 2028 dan mewakili kira-kira 18% daripada kapasiti terminal tangki Dialog berdasarkan pegangan ekuiti," jelas kajian CGSI Research yang turut mengekalkan saranan beli terhadap saham syarikat tersebut.

 

CGSI Research berkata, Dialog menjangka lebih banyak kerja penyelenggaraan loji pada separuh kedua tahun ini, yang akan memberi manfaat kepada hasil kewangan syarikat berbanding separuh tahun sebelumnya.

 

"Bagaimanapun, terdapat risiko kerugian dalam fasa akhir perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyampaian (EPCC) yang akan berlanjutan sehingga tahun kewangan 2025 (FY25)," jelas firma penyelidikan itu.

 

Dialog dan PetGas minggu lalu mengumumkan usaha sama untuk menubuhkan kemudahan ASU di Pengerang, Johor.

 

Dialog akan memiliki 27.78% pegangan ekuiti, manakala PetGas sebanyak 72.22% pegangan dalam syarikat usaha sama mereka yang dinamakan Regas Terminal (Pengerang) Sdn Bhd. 

 

Dialog akan menyuntik RM10.2 juta ke dalam usaha sama itu, dengan sumbangan ekuitinya akhirnya mencapai RM37 juta. - DagangNews.com