Alpha IVF catat peningkatan hasil jualan kepada RM15.1 juta, sumbangan pesakit asing mencecah 71.2% | DagangNews Skip to main content

Alpha IVF catat peningkatan hasil jualan kepada RM15.1 juta, sumbangan pesakit asing mencecah 71.2%

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Jan - Keuntungan bersih Alpha IVF Group Bhd (Alpha IVF) untuk suku kedua berakhir 30 November 2024 (2QFY2025) meningkat sebanyak 23.6% kepada RM15.1 juta, berbanding RM12.21 juta pada 2023, disokong oleh peningkatan hasil jualan daripada pesakit asing.

 

Alpha IVF berkata, hasil jualan meningkat 12.2% kepada RM43.24 juta, berbanding RM38.54 juta pada 2QFY2024.

 

Tiada pengagihan dividen diumumkan untuk suku tersebut.

 

"Sumbangan pesakit asing kepada operasi syarikat di Malaysia meningkat dengan ketara kepada 71.2% pada suku ini, berbanding 57.2% pada 2QFY2024, dengan pesakit dari Indonesia dan China memacu pertumbuhan tersebut.

 

"Pesakit dari Indonesia merupakan pelanggan terbesar Alpha IVF, menyumbang kira-kira 34.9% kepada keseluruhan hasilnya, manakala pesakit dari China menyumbang sebanyak 25.2%," demikian menurut pemfailan syarikat penjagaan kesuburan tersebut di Bursa Saham.

 

Syarikat itu berkata, pesakit dari China merupakan segmen yang berkembang paling pesat, dengan hasil jualan meningkat empat kali ganda kepada RM8.1 juta berbanding tempoh yang sama pada 2023.

 

Jelasnya, untuk separuh pertama FY2024, keuntungan bersih Alpha IVF meningkat 16.4% kepada RM29.48 juta berbanding RM25.34 juta pada 2023, manakala hasil jualan meningkat 7.6% kepada RM86.24 juta berbanding RM80.14 juta.

 

"Perniagaan domestik pula menyumbang RM38 juta atau 87.8% daripada hasil jualan pada 2QFY2025, manakala bakinya datang daripada operasi di Singapura," ujarnya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo dalam pada itu berkata, syarikat akan terus fokus kepada strategi pengembangan pasaran untuk FY2025, memanfaatkan momentum yang diperoleh daripada perkembangan serantau terkini.

 

"Selain China, kami sedang memperluaskan kehadiran kami di rantau Asia Tenggara dengan penubuhan pusat IVF yang lengkap di Filipina dan klinik satelit pertama kami di Indonesia, memanfaatkan pasaran yang berkembang pesat ini.

 

"Kami yakin dengan prospek pertumbuhan berterusan kami. Dengan peluasan perkhidmatan di pasaran sedia ada dan baharu, kami berada pada kedudukan yang baik untuk mengukuhkan lagi jejak tempatan dan serantau kami," jelasnya.

 

Susulan pembukaan pejabat jualan pertama di Shanghai pada bulan September 2024, Alpha IVF turut membuka pejabat wakil jualan kedua di Guangzhou, yang memulakan operasi pada awal Januari 2025. - DagangNews.com