KUALA LUMPUR 14 Jan - Pengguna di Malaysia kini boleh mencari rumah idaman mereka dengan sambungan internet terbaik di laman sesawang Mudah Property, menerusi penyepaduan perkhidmatan CelcomDigi Fibre dan CelcomDigi 5G Home Wifi hasil kerjasama antara Mudah.my dengan CelcomDigi.
Usahasama tersebut turut disokong oleh agensi media, OMD Malaysia CelcomDigi.
Kerjasama itu memastikan pengguna yang mencari rumah, dapat mengenal pasti pilihan sambungan internet terbaik dengan mudah, sesuai dengan keperluan gaya hidup digital moden mereka.
Dengan liputan fiber dan rangkaian terluas CelcomDigi di Malaysia, pemilik rumah dan penyewa dapat menikmati internet berkelajuan tinggi tanpa gangguan di mana sahaja mereka tinggal.
Pemilik rumah boleh menikmati Fibre-to-the-Room (FTTR) percuma sehingga 1Gbps, membolehkan liputan internet yang pantas di setiap bilik, manakala bagi mereka yang ingin menaik taraf kediaman, peranti rumah pintar AI boleh didapati hanya dengan harga serendah RM2 sehari.
Penyewa yang memerlukan sambungan internet pantas dan mudah alih boleh mendapatkan perkhidmatan CelcomDigi 5G Home WiFi sebagai pilihan yang ideal.
Ketua Mudah Property, Teh Han Ming berkata, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan CelcomDigi bagi meningkatkan pengalaman pencarian hartanah pengguna.
"Dengan lebih 350,000 senarai hartanah di Malaysia yang diiklankan di Mudah Property, kami komited memudahkan pelanggan untuk mencari rumah idaman mereka.
"Menerusi kerjasama ini, kami dapat menawarkan pengguna maklumat yang penting tentang pilihan sambungan internet dengan perkhidmatan CelcomDigi Fibre dan CelcomDigi 5G Home Wifi," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, kerjasama tersebut bukan sahaja membolehkan pihaknya menawarkan nilai tambahan kepada pengguna, malah merupakan satu peluang bagi CelcomDigi untuk sampai ke kelompok pengguna yang lebih ramai dan pelbagai melalui platform Mudah Property.
Ketua Digital OMD Malaysia, Aliasgar Hirani pula berkata, OMD Malaysia menerajui kerjasama berkenaan dengan mengenal pasti peluang dan membina perkongsian kukuh antara pelanggan CelcomDigi dan Mudah.my.
Katanya, inisiatif yang pertama seumpamanya di pasaran itu amat sesuai kerana ia memenuhi keperluan perkhidmatan internet pengguna yang menyewa atau membeli rumah, sekali gus meningkatkan pertimbangan terhadap jenama CelcomDigi.
"Ia turut menekankan amalan media kreatif OMD, yang menggabungkan maklumat mengenai tingkah laku dan budaya bagi meningkatkan pengaktifan dan kerjasama media kami, memastikan kami sentiasa relevan di mata pelanggan dan mewujudkan hubungan yang lebih bermakna dengan pengguna," ujarnya. - DagangNews.com