Catcha ambil alih 70% kepentingan ekuiti dalam Tastefully Malaysia | DagangNews Skip to main content

Catcha ambil alih 70% kepentingan ekuiti dalam Tastefully Malaysia

(Barisan Bawah, Dari Kiri) CFO iMedia Asia Sdn Bhd, Jacky Tee; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Catcha Digital Bhd, Eric Tan; Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Bersama Tastefully Malaysia Sdn Bhd, Esther Fong Shal Thing dan Pengarah Pembangunan Perniagaan Tastefully Malaysia Sdn Bhd, Lee Jing Yee
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Catcha Digital Bhd memterai perjanjian jual beli saham bagi mengambila alih 70% kepentingan ekuiti dalam Tastefully Malaysia Sdn Bhd dengan pertimbangan tunai RM7.6 juta. 

 

Pengendali perniagaan digital itu berkata, pertimbangan tunai tersebut perlu dibayar dalam empat peringkat sepanjang 36 bulan. 

 

Katanya, ia terikat dengan pencapaian untung bersih kumpulan dalam tempoh 36 bulan selepas selesai tarikh penjualan dan pembelian saham. 

 

"Pengambilalihan ini mewakili visi Catcha Digital untuk terus berkembang menjadi perniagaan media digital bersepadu bagi menyediakan rumusan pengiklanan kepada pelanggannya. 

 

"Urus niaga ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Catcha Digital pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Tastefully merupakan antara syarikat ekspo makanan pengguna yang mengendalikan acara terkemuka di Malaysia. 

 

Acara utama rangkaian itu telah menjalinkan hubungan kukuh dengan jenama utama dalam sektor F&B seperti Beacon Mart, Guardian dan banyak lagi, sambil bekerjasama dengan agensi kerajaan terkemuka seperti Lembaga Koko Malaysia.

 

Catcha berkata, pengambilalihan itu menyediakan peluang jualan silang antara pangkalan pelanggan pengiklanan sedia ada Catcha Digital dan pelanggan Tastefully.

 

"Menerusi kerjasama ini, Catcha akan menawarkan rumusan pengiklanan Tastefully kepada pelanggan kami.

 

"Dalam pada itu, Tastefully boleh memanfaatkan keupayaan pengiklanan digital kami kepada pelanggannya bagi mempercepatkan pertumbuhan bagi kedua-dua entiti," katanya.

 

Catcha
Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove
 

Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove berkata, menerusi pengambilalihan ini, syarikat akan menggabungkan kepakaran Tastefully dalam mengendalikan acara pengguna dengan keupayaan digital Catcha Digital.

 

"Apa yang amat menarik perhatian kami ialah keupayaan Tastefully untuk melaksanakan acara ekspo pengguna berskala besar di seluruh Malaysia dan rekod prestasi mereka dalam menyampaikan nilai secara konsisten. 

 

"Memandangkan banyak jenama F&B mencari rumusan pengiklanan yang lebih bersepadu, kami percaya gabungan ini akan mewujudkan peluang menarik untuk pengiklan sedia ada kami sambil membuka laluan baharu untuk pertumbuhan berterusan," katanya.- DagangNews.com