Colform lancar IPO di Pasaran ACE, sasar kumpul RM41.19 juta bagi kembangkan operasi | DagangNews Skip to main content

Colform lancar IPO di Pasaran ACE, sasar kumpul RM41.19 juta bagi kembangkan operasi

(Dari kiri) Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Colform Group Bhd, Kang Phui Ting; Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan Colform, Kang Ah Hin; Pengarah Urusan Colform, Kang Ket Hung; Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan Colform, Datuk Ali Ahmad Hamid; Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Kumpulan Colform, Kang Phui Yie dan Ketua Kewangan Korporat Mercury Securities Sdn Bhd, Eric Chong
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan -  Pengeluar keluli dan bahan binaan berpangkalan di Sabah, Colform Group Bhd melancarkan prospektus sempena tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Dengan modal saham terbitan sebanyak 114.42 juta saham dan harga IPO 36 sen sesaham, modal pasaran Colform bakal mencecah sebanyak RM41.19 juta selepas penyenaraian.

 

Menurut prospektusya, Colform berkata, IPO tersebut membolehkan kumpulan mengembangkan operasinya dan mengukuhkan kehadiran pasarannya dalam perkhidmatan pembuatan, perdagangan dan pemasangan keluli.

 

"Secara khusus, RM9 juta akan diperuntukkan bagi menubuhkan barisan pengeluaran salutan gegelung warna di kilang Kota Kinabalu dan RM4.5 juta untuk menghasilkan kemudahan penyimpanan baharu.

 

"Selain itu, RM5.10 juta akan digunakan bagi mengembangkan perniagaan ke Semananjung Malaysia, termasuk menubuhkan pejabat cawangan dan kilang pajakan di Klang, RM18.09 juta akan diperuntukan untuk modal kerja dan RM4.5 juta akan digunakan sebagai pembiayaan penyenaraian," katanya. 

 


Permohonan untuk IPO dibuka pada 10 pagi hari ini, berikutan pelancaran prospektif dan akan ditutup pada 23 Januari 2025.

 

Colform dijangka akan debut di Pasaran ACE pada 10 Februari 2025. Pada harga IPO 36 sesaham, permodalan pasaran syarikat semasa penyenaraian akan berjumlah RM216.00 juta.

 

Beribu pejabat di Kota Kinabalu, Sabah, tawaran Colform merangkumi pelbagai jenis produk keluli hiliran seperti kepingan bumbung, pelapis dinding dan sistem rangka keluli IBS serta menyediakan penyelesaian yang cekap kos, penjimatan buruh yang disesuaikan untuk memenuhi piawaian industri.

 

Pengarah Urusan, Kang Ket Hung, berkata, pelancaran IPO itu menandakan pencapaian besar kumpulan di Colform. 

 

"Sejak penubuhan kami pada 2003, Colform telah berkembang daripada permulaan yang sederhana menjadi penyedia penyelesaian keluli komprehensif.

 

"IPO ini akan membolehkan kami mengembangkan keupayaan kami dengan barisan pengeluaran salutan gegelung warna baharu, meningkatkan kecekapan operasi dan mewujudkan kehadiran kami di Semenanjung Malaysia.

 

"Kami komited untuk mencipta nilai berkekalan untuk pemegang kepentingan kami sambil menyumbang kepada pembangunan infrastruktur Malaysia," katanya. 

 

Mercury Securities Sdn Bhd ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal untuk Colform. - DagangNews.com