Dayang Enterprise raih kontrak daripada Petronas Carigali sedia perkhidmatan penyelenggaraan dan pentauliahan | DagangNews Skip to main content

Dayang Enterprise raih kontrak daripada Petronas Carigali sedia perkhidmatan penyelenggaraan dan pentauliahan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Nov - Dayang Enterprise Holdings Bhd menerusi Dayang Enterprise Sdn Bhd meraih kontrak perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan, pengubahsuaian Pan Malaysia (MCM) dan perkhidmatan hook-up & pentauliahan (HUC) untuk Pakej A3 serta A5 selama lima tahun daripada Petronas Carigali Sdn Bhd.

 

Kumpulan itu berkata, pakej A3 itu melibatkan aset Sarawak (Minyak SKA) dan Pakej A5 melibatkan aset Sabah iaitu SBA Selatan.

 

Katanya, nilai kontrak adalah berdasarkan perintah kerja yang akan dikeluarkan oleh Petronas Carigali sepanjang kontrak merangkumi semua kerja serta perkhidmatan lain secara amnya yang berkaitan skop kerja dalam kontrak pada jadual kadar tetap.

 

"Skop kontrak itu termasuk penyediaan tenaga kerja, alatan dan peralatan, bahan, bahan pakai buang serta perkhidmatan berkaitan.

 

"Kedua-dua pekerjaan itu melibatkan kontrak selama lima tahun dengan lanjutan kontrak selama tiga tahun dan kemudiannya selama dua tahun," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kontak itu tidak akan memberi kesan ke atas modal terbitan syarikat dan dijangka menyumbang kepada pendapatam Dayang Enterperise sepanjang tempoh kontrak.

 

Faktor risiko yang mempengaruhi kontrak termasuk risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan, perubahan harga bahan, perubahan ekonomi dan keadaan kawal selia.

 

Kumpulan itu hendaklah memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan keperluan kontrak.- DagangNews.com