KUALA LUMPUR 5 Dis - Penyedia perkhidmatan perubatan estetik, DC Healthcare Holdings Berhad (DC Healthcare) meluaskan operasinya dengan pembukaan klinik terbaharu, Dr. Chong Clinic di Georgetown, Pulau Pinang.
Seiring dengan pencapaian berkenaan, kumpulan turut memperkenalkan tagline baharu Dr. Chong Clinic iaitu Beauty Refined, Safety Aligned, yang mencerminkan komitmennya untuk menyampaikan kecemerlangan perubatan estetik dengan piawaian keselamatan tertinggi.
Klinik baharu tersebut merupakan langkah penting dalam komitmen kumpulan untuk memperkukuhkan kehadirannya di utara Malaysia dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan perubatan estetik berkualiti tinggi.
Selain terkenal dalam prosedur tidak invasif dan minimal invasif, Dr. Chong Clinic di Georgetown, Pulau Pinang dilengkapi dengan kemajuan terkini dalam teknologi perubatan dan disokong oleh pasukan profesional yang sangat mahir, memastikan pelanggan menerima rawatan perubatan estetik yang premium dan peribadi.
Klinik berkenaan bakal memberi perkhidmatan bukan sahaja kepada komuniti tempatan, tetapi juga pelawat antarabangsa.
Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr. Chong Tze Sheng berkata, pembukaan klinik di Georgetown mencerminkan komitmennya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan perubatan estetik.
"Lokasi strategik Pulau Pinang dan reputasinya sebagai sebuah destinasi pelancongan kesihatan membuatkannya pilihan yang ideal untuk pengembangan kami.
Kami komited untuk memberikan perkhidmatan yang luar biasa dengan menggabungkan teknologi inovatif, tenaga kerja yang mahir dan pendekatan mengikut standard penjagaan perubatan estetik," katanya dalam satu kenyataan.
Perkembangan itu merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih luas DC Healthcare untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran perubatan estetik.
Kumpulan akan terus mencari peluang mengembangkan rangkaian klinik ke seluruh Malaysia, terutamanya di selatan dan utara, untuk meningkatkan aksesibiliti dan melayani pelanggan dengan lebih baik.
Untuk menyokong pertumbuhan tersebut, DC Healthcare secara aktif melabur dalam pengambilan doktor perubatan, pakar runding dan kakitangan sokongan yang berpengalaman.
Pembukaan klinik di Georgetown, menjadikan jumlah rangkaian DC Healthcare kini sebanyak 18, termasuk penambahan pusat kulit dan kesejahteraan baharu, serta empat cawangan DC Body di seluruh negara.
DC Healthcare tetap optimis tentang prospek industri perkhidmatan perubatan estetik, memanfaatkan kekuatan daya saingnya untuk merebut peluang baharu.
Dengan memfokuskan kepada pertumbuhan mapan dan meningkatkan tawaran perkhidmatan, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan utama dalam membentuk masa depan penjagaan perubatan estetik di Malaysia. - DagangNews.com