KUALA LUMPUR 14 Nov - Dua pengarah Bubblebee termasuk Shuib, berdepan pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan 18 pertuduhan, dalam satu prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Menurut Sinar Harian, Orang kena saman (OKS) dari syarikat Bubblebee Sdn Bhd iaitu Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 40, dan Koh Choon Guan, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.
Mengikut semua pertuduhan, OKS masing-masing menghadapi enam pertuduhan gagal membayar cukai itu bagi tempoh bercukai 1 Januari sehingga 1 November 2023, sebagai mana ditetapkan bawah Seksyen 26(4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bahagian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) JKDM Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) antara 1 April 2023 dan 1 Februari 2024.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(8) akta itu, yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Di bawah seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 serta Seksyen 69(1) akta sama, mereka turut dikehendaki membayar penalti berjumlah RM453,969.42 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Wan Abdul Rahim Wan Mahamood dan Nur Amalina Ahmad Nazeri sementara OKS diwakili peguam, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin.
Semasa prosiding, pegawai pendakwa mencadangkan setiap OKS diberi ikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan alasan, cukai yang belum dibayar adalah tinggi mencecah jutaan ringgit.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili OKS berkata, anak guamnya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang kes disiasat selain tiada keadaan mendesak sehingga memerlukan mahkamah menetapkan ikat jamin.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rasyihah membenarkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 Disember 2024.
Pada Isnin, Bubblebee, Shuib dan Choon Guan didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2023.
Mereka dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis. - DagangNews.com