Duti import AS ke atas panel solar boleh memberi manfaat kepada syarikat solar Malaysia - Samaiden | DagangNews Skip to main content

Duti import AS ke atas panel solar boleh memberi manfaat kepada syarikat solar Malaysia - Samaiden

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 4 Okt - Tindakan Amerika Syarikat mengenakan duti import ke atas panel solar dari Asia Tenggara  mungkin memberi kesan kepada pengeluar yang terlibat dalam membekalkan bahan kepada pengeluar panel, tetapi dijangka tidak begitu ketara terhadap pemaju solar dan syarikat EPCC.

 

"Duti import AS sebenarnya boleh memberi manfaat kepada pemain solar domestik," kata Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Ir Chow Pui Hee kepada DagangNews hari ini.

 

Jabatan Perdagangan AS pada 1 Okt lalu, menetapkan duti ke atas import solar dari Asia Tenggara, selepas penemuan awal peralatan itu mendapat manfaat daripada `bantuan haram kerajaan', lapor Bloomberg.

 

ARTIKEL BERKAITAN: AS mengenakan duti ke atas panel solar dari Asia Tenggara, termasuk Malaysia pada 9.13%

 

Penentuan itu menandakan kemenangan awal bagi pembuat panel domestik AS yang mengatakan import murah memudaratkan operasi mereka dan mengancam pelaburan yang bertujuan untuk memupuk rantaian bekalan solar AS.

 

 

Datuk Ir Chow Pui Hee
                        Datuk Ir Chow Pui Hee

 

 

Mereka meminta kerajaan AS untuk mengenakan duti, dengan alasan faedah peralatan daripada subsidi asing yang tidak adil dan dijual pada harga di bawah kos pengeluaran.

 

Mengulas lanjut, Ir Chow berkata, apabila mempertimbangkan rantaian bekalan global, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa kebanyakan permintaan panel solar Malaysia dipenuhi melalui import dari China.

 

"Tarif ke atas pengeluar China mungkin akan mengekang bekalan mereka ke AS, mewujudkan peluang untuk syarikat Malaysia," jelas beliau.

 

"Memandangkan pengeluar China menghadapi cabaran yang semakin meningkat dalam mengekalkan daya saing harga di pasaran AS serta isu pengeluaran yang berlebihan, mereka mungkin berusaha untuk menghabiskan inventori mereka di tempat lain, termasuk Malaysia, di mana permintaan kekal berdaya tahan.

 

"Peralihan ini boleh meningkatkan lagi kedudukan syarikat solar tempatan dalam pasaran," kata Ir Chow.

 

Beliau berkata, dengan pengukuhan matawang Ringgit, selain kesan limpahan daripada tarif yang dikenakan AS, Samaiden percaya faktor-faktor ini pastinya akan memihak kepada pemain tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. - DagangNews.com