KUALA LUMPUR 13 Jan - Eden Inc Bhd menerusi Daya Cipta Sdn Bhd menerima surat pemberitahuan (LoN) daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk pembangunan loji solar fotovoltaik (LSS) berskala besar 29.99MW di tapak milik syarikat itu di Gebeng, Kuantan, Pahang.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kapasiti eksport maksimum loji LSS hendaklah tidak melebihi 29.99MW.
Katanya, Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) akan dilaksanakan dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk tempoh 21 tahun.
"Tarikh operasi komersial (COD) yang dijadualkan tidak melebihi daripada 28 Julai 2027," katanya.
Eden berkata, projek itu akan dibiayai oleh gabungan pinjaman bank dan/ atau dana yang dijana secara dalaman.
Projek ini tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan sesaham kumpulan, aset bersih sesaham, penggearan dan modal saham berkenaan dengan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
"Bagaimanapun, projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan yang disatukandan aset bersih selepas pentauliahannya dan operasi seterusnya," katanya.
Risiko projek adalah terrmasuk risiko biasa berkaitan pembangunan dan operasi loji LSS.
Bagaimanapun, syarikat akan mengambil langkah yang perlu untuk menyediakan pengurusan risiko, kawalan dan proses operasi yang mencukupi untuk mengurangkan risiko ini. - DagangNews.com