KUALA LUMPUR 26 Nov - EdgePoint Towers Sdn Bhd (EPT), menjalin perkongsian strategik dengan penyedia rangkaian mudah alih utama di Malaysia, CelcomDigi Bhd (CelcomDigi), bagi merealisasikan sinergi rangkaian serta memperluas jangkauan kesalinghubungan.
Perkongsian itu menunjukkan komitmen berterusan anak syarikat EdgePoint Infrastructure (EdgePoint) untuk menyokong rakan kongsi penyedia rangkaian mudah alih (MNO) dengan lebih holistik, membantu mereka bukan sahaja mengatasi cabaran semasa, tetapi juga mempersiapkan diri untuk peluang masa depan.
CelcomDigi dan EPT menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk memperluas jangkauan kesambungan CelcomDigi, merealisasikan sinergi rangkaian dan menumpukan perhatian kepada pengoptimuman kos yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pelanggan CelcomDigi dengan kesambungan yang lancar.
Ia ditandatangani di TowerXchange Meet Up Asia 2024, sebuah acara tahunan yang menjadi tempat pertemuan eksklusif bagi pemain industri menara di Asia-Pasifik.
Perkongsian tersebut juga meletakkan asas untuk peluang penyelesaian hubungan yang lebih maju dan bersedia untuk masa depan seperti penyelesaian dalam bangunan dan sel kecil untuk memperbaiki liputan dalaman, memastikan CelcomDigi bersedia untuk pertumbuhan dan permintaan data yang semakin meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif EPT, Muniff Kamaruddin berkata, perkongsian berkenaan adalah lanjutan daripada hubungan kerja yang berjaya antara EdgePoint dan CelcomDigi.
"Kami berharap dapat membantu CelcomDigi merealisasikan manfaat penggabungan ini serta mempersiapkan diri untuk masa depan.
"Ketika Malaysia mempercepatkan usaha ke arah jaringan yang lebih luas, kami berharap dapat terus membangunkan dan melaksanakan infrastruktur yang siap untuk masa depan serta teknologi inovatif dengan cepat untuk meningkatkan pengalaman digital bagi pengguna dan perusahaan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, negara berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi peneraju serantau dalam pembangunan 5G dan AI.
"Kami komited membangunkan rangkaian terkini untuk pelanggan kami dan memajukan negara ke arah masyarakat digital yang didorong oleh 5G dan AI.
"Melalui perkongsian seperti ini, kami akan dapat mengoptimumkan rangkaian yang telah dimodenkan semula untuk melayani pelanggan kami di lebih banyak kawasan di seluruh negara dan mempercepatkan transformasi digital Malaysia," ujarnya.
Pada masa sama, satu lagi perjanjian turut dimeterai bertujuan untuk memastikan infrastruktur berkualiti diterapkan di Malaysia antara Persatuan Penyedia Infrastruktur Telekomunikasi Malaysia (PPIT) dan Malaysian Technical Standards Forum Bhd (MTFSB), badan industri komunikasi dan multimedia Malaysia.
Ia bermatlamat memenuhi keperluan operasi antara rangkaian, keselamatan dan aspek teknikal lain berkaitan fasiliti rangkaian, perkhidmatan rangkaian, kelulusan peralatan serta segala hal berkaitan reka bentuk dan penerapan infrastruktur.
PPIT diwakili Presidennya, Muniff Kamaruddin, sementara MTFSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Normarinee Mohd Nor.
Normarinee berkata, seiring dengan evolusi pesat industri telekomunikasi, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan syarikat menetapkan standard yang jelas, berfikir ke hadapan dan relevan yang membolehkan inovasi sambil mengekalkan kebolehpercayaan, keselamatan dan kemampanan.
"Matlamat kami adalah untuk memupuk ekosistem kolaboratif di mana pemimpin industri, pengawal selia, penyedia infrastruktur dan teknologi dapat bekerjasama untuk membina masa depan yang lebih tersambung dan mampan untuk semua," katanya.
EdgePoint kini memiliki lebih daripada 15,000 menara di Malaysia, Indonesia dan Filipina. - DagangNews.com