Ekonomi Malaysia diramal berkembang secara sederhana disebabkan untung sektor pembuatan merosot - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia diramal berkembang secara sederhana disebabkan untung sektor pembuatan merosot - penganalisis

Gambar hiasan dari unsplash
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Jan - Penganalisis menjangkakan prestasi ekonomi Malaysia berkembang secara sederhana walaupun indeks pengeluaran perindustrian (IPI) November 2024 menunjukkan prestasi melebihi jangkaan.

 

Katanya, ekonomi dijangka menyederhana disebabkan keuntungan sektor pembuatan merosot pada suku keempata berakhir pada 31 Disember 2024 (4Q24) berbanding suku sebelumnya.

 

IPI, yang mengukur produktiviti dalam pembuatan, elektrik dan perlombongan, meningkat kepada paras tertinggi tiga bulan sebanyak 3.6% tahun ke tahun (YoY) pada November mengatasi konsensus pasaran sebanyak 2.5%. 


Di samping itu, sub-indeks perkilangan dan elektrik menunjukkan pertumbuhan kukuh YoY manakala sub-indeks perlombongan menyaksikan penurunan yang lebih kecil. 

 

TA Securities menjangkakan pengeluaran ekonomi keseluruhan menjadi sederhana pada 4Q24 berikutan kelembapan dalam sub-indeks pembuatan dan elektrik IPI berbanding dengan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi yang dilihat pada 3Q24.

 

"Ini menunjukkan potensi penyusutan dalam pengembangan keluaran dalam negara kasar (KDNK), iaitu 5.3% YoY pada 3Q24," katanya. 

 

Firma tersebut mengekalkan unjuran KDNK 4Q24 pada 4.7% dan unjuran KDNK setahun penuh pada 5%. 

 

“Pemahaman yang lebih baik mengenai KDNK 4Q24 akan tersedia dengan anggaran awal  dikeluarkan pada Jumaat ini. 


"Angka-angka awal ini dijangka menawarkan pandangan berharga tentang pemacu utama pertumbuhan ekonomi dalam tempoh genting ini," katanya. 

 

BIMB Securities berkata, walaupun sektor pembuatan Malaysia bakal  memanfaatkan daripada ekonomi global yang semakin pulih tahun ini berikutan permintaan luar yang berterusan, risiko tidak boleh diabaikan. 

 

Ia menunjukkan penguncupan dalam indeks pengurus pembelian (PMI) Disember 2024 negara itu sebagai menonjolkan cabaran berterusan, termasuk penurunan dalam permintaan luar sejak Mac 2024.

 

PMI mengukur arah aliran dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. 

 

“Selain itu, dasar perlindungan di bawah pentadbiran baharu AS boleh mengganggu aliran perdagangan dan membebankan sektor pembuatan pada 2025. 

 

“Ketegangan geopolitik, pertikaian perdagangan dan potensi anjakan dasar kekal sebagai ketidakpastian utama yang boleh memberi kesan kepada prestasi perdagangan Malaysia.


“Selain itu, pemulihan China akan menjadi sangat kritikal berikutan hubungan perdagangan yang mendalam antara kedua-dua negara,” katanya.

 

BIMB Securities berkata, terdapat pertumbuhan yang konsisten dalam guna tenaga dalam sektor pembuatan pada November 2024, dengan kenaikan 1% YoY.

 

Menghuraikan data selanjutnya, CIMB Securities, yang mengekalkan pertumbuhan KDNK 2024 pada 5.2%, berkata, pertumbuhan IPI bagi tempoh Oktober hingga November menyusut 2.8% tahun ke tahun daripada 3.9% pada 3Q24. 

 

Ia menandakan momentum aktiviti perindustrian yang semakin perlahan pada 4Q24, dengan pengukur PMI menunjukkan firma mengurangkan semula aktiviti pengeluaran dan pembelian dalam keadaan permintaan yang lemah. 

 

“Walaupun sektor pembuatan menghadapi cabaran, prestasi teguh dalam sektor perkhidmatan mungkin membantu mengimbangi kelemahan ini. 

 

Aktiviti pelancongan yang kukuh, disokong oleh peningkatan paras pendapatan dan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, terus memperkukuh industri berkaitan perkhidmatan.

 

 “Malaysia juga kekal disokong oleh permintaan dalam negeri yang stabil dan aktiviti perdagangan global yang mampan, yang sepatutnya menyediakan penampan terhadap pengeluaran perindustrian yang lemah dalam tempoh terdekat,” katanya. 

 

Sementara itu, HSBC Global Research, yang menaik taraf unjuran pertumbuhan KDNK 2025 Malaysia kepada 4.8% daripada 4.6%, turut menaik taraf KDNK 2024 kepada 5.2% daripada 5%. 

 

Firma penyelidikan yakin terdapat ruang bagi perdagangan Malaysia bertambah baik, dengan sektor pembuatannya terus bertambah baik tetapi ini tidak akan berlaku untuk komoditi kecuali minyak sawit kerana minyak dan gas asli cecair akan terus membebankan eksport. 

 

Katanya, walaupun terdapat risiko luaran, penggunaan dan pelaburan sebahagiannya boleh menyokong pertumbuhan.

 

“Apa yang menyerlah ialah pertumbuhan memberangsangkan dalam pembentukan modal tetap kasar, yang berkembang dengan dua digit bagi tiga suku berturut-turut didorong oleh pihak awam dan swasta," katanya.  - DagangNews.com